ALOR GAJAH – Sudahlah kucing diidamkan tak dapat, duit simpanan berjumlah hampir RM40,000 pula lesap.
Itu nasib malang dialami seorang guru wanita yang kempunan membeli seekor kucing jenis Munchkin menyebabkannya kerugian sebanyak RM37,750 Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian bermula selepas guru berusia 39 tahun itu melihat satu iklan yang ingin menjual kucing Munchkin pada RM600 di Facebook, 23 Ogos lalu.
“Selepas berhubung dengan penjual, mangsa bersetuju membeli kucing tersebut dan telah membuat bayaran wang deposit berjumlah RM300 ke dalam akaun diberikan.
“Bagaimanapun antara 24 Ogos sehingga 26 Ogos, mangsa diminta untuk membuat bayaran tambahan bagi tujuan lesen Perhilitan, kos penerbangan antara negara dan lesen import kucing dari negara luar ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa membuat bayaran itu melalui pemindahan wang secara berperingkat menjadikan jumlah keseluruhan RM37,750 sebelum menyedari dia ditipu.
“Guru wanita itu membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan segera menelefon Pusat Respon Scam Kebangsaan di talian 997 untuk menyekat wang yang telah diserahkan kepada sindiket penipuan,” katanya. – MalaysiaGazette