Lim Lip Eng

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Razali Idris dan Pas diberi tempoh 24 jam bagi membuat permohonan maaf secara terbuka dan menarik semula dakwaan berhubung pemberian kerakyatan kepada 54,000 warga China.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Pip Eng berkata, dakwaan berkenaan dikemukakan tanpa bukti kukuh.

Sehubungan itu, beliau menyifatkannya sebagai fitnah yang bertujuan memperlekehkan kedaulatan negara kerana kerajaan sebelum ini telah membuat penafian mengenainya.

“Pihak kerajaan telah pun menafikan dakwaan tersebut kali pertama ia muncul di ruang-ruang maya pada awal bulan ini… Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, kenyataan berkenaan dalam masa yang sama melanggar akta-akta antara lain, Sek. 499, 504, 505(b) dan 505(c) Kanun Keseksaan, Sek. 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Sek. 4(1) dan 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Semalam, Razali berkata, Bersatu menggesa supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat dakwaan 54,000 warga China yang dalam proses diberikan kerakyatan Malaysia.

Gesaan berkenaan juga dibuat di akaun Twitter Pas Pusat sehari sebelumya.

Tanpa mengemukakan bukti berhubung dakwaan itu, Razali berkata, siasatan juga perlu dibuat terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN), Menterinya Saifuddin Nasution Ismail dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).- MalaysiaGazette