Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mendengar penerangan daripada pegawai Hospital semasa mengadakan lawatan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 03 SEPTEMBER 2023.

JOHOR BAHRU – Kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM500 juta untuk kerja-kerja menaik taraf fasa pertama Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini khususnya melibatkan pembinaan tempat letak kenderaan bertingkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan segera itu bertujuan untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan yang diberikan kepada pesakit-pesakit dan waris di hospital berkenaan.

Menurut beliau, jumlah peruntukan berkenaan telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dan juga Kementerian Ekonomi.

“Saya lawat HSA ini kerana dapat laporan daripada Menteri Kesihatan tentang masalah berbangkit sejak puluhan tahun, iaitu tentang kesesakan. Jadi perbincangan dibuat dan kerajaan bersetuju ambil tindakan segera meluluskan pembinaan tempat letak kenderaan bertingkat.

“Kerajaan negeri telah mengambil langkah-langkah sementara dan mempermudahkan dengan majlis perbandaran. Setelah berbincang dengan Kementerian Kewangan, kita mahu projek ini disegerakan dan saya telah minta ia dilaksanakan pada tahun ini juga.

“Pelan pembinaan beberapa blok seperti mana yang kita tahu tanah ini hampir 100 ekar tetapi kalau kita mulakan pelan asal ialah membangunkan beberapa kompleks tingkat tinggi supaya dapat penuhi keperluan. .Kalau saya lihat kesesakan itu memang tidak dapat dibendung lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di hospital berkenaan, di sini hari ini. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.

Tambah Anwar, pihaknya juga bersetuju dengan perancangan asal menaik taraf dan pembinaan beberapa kompleks kesihatan baharu di kawasan HSA.

“Pembinaan tempat letak kenderaan bertingkat itu juga tidak seharusnya menganggu perancangan pembinaan semula beberapa blok kesihatan di atas tanah yang berkeluasan hampir 100 ekar.

“Jadi kalau gunakan pelan asal, keluasan tanah itu mencukupi. Oleh yang demikian rancangan sekarang adalah bina beberapa kompleks bangunan bertingkat tinggi untuk penuhi keperluan. Projek ini telah terbengkalai sekian lama tanpa sebarang tindakan, bila tiba giliran saya (jadi Perdana Menteri), kita ambil tindakan segera.

“Selepas kajian pembinaan siap, kita perlu ada ‘fast track tender’, kita mahu mulakan sekarang,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu kerajaan akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja menaik taraf HSA sedia ada terlebih dahulu sebelum berbincang tentang pelaksanaan HSA yang kedua.

“Itu dalam rancangan kedua, kita selesaikan masalah yang mendesak terlebih dahulu kerana orang ramai sudah tidak boleh tahan sekiranya mahu tunggu hospital baharu,” jelasnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.