Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mempersoalkan sikap ‘diam seribu bahasa’ terutamanya Menteri Kewangan atas dakwaan skandal Skim Insuran Am Selangor (Insan).

Kata Hamzah, Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjawab isu ini memandangkan adanya pelanggaran tatakelola dalam skandal tersebut.

“Sudah sebulan sejak pendedahan skandal Insan ini namun Menteri Kewangan yang dikatakan jaguh tatakelola membisu.

“Menteri Kewangan perlu jawab kerana pelanggaran tatakelola di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 iaitu kesalahan mendaftarkan pelanggan secara haram dalam sesuatu perkhidmatan kewangan tanpa pengetahuan dan kebenaran penama adalah jenayah.

“Apakah pelanggaran tatakelola ini boleh didiamkan begitu saja? Lebih melampau lagi jika ada polisi insuran dikeluarkan ke atas penama yang telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, Menteri Kewangan juga perlu buktikan bahawa beliau benar-benar penentang projek rundingan terus seperti yang disebut berulang kali.

Dakwa beliau Insan ini asalnya dicadang supaya dikendalikan SELGATE iaitu syarikat GLC Selangor kerana faktor perlesenan, kewangan dan kepakaran tetapi diketepikan.

“Mengapa pula sebuah syarikat swasta yang latar belakangnya meragukan dipilih tanpa ‘open tender’ (tender terbuka)?

“Menteri Kewangan juga perlu jawab apakah benar berlaku jenayah di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 di mana data peribadi rakyat diperoleh daripada SPR oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi tujuan pilihan raya diserahkan kepada syarikat untuk tujuan komersial tanpa kebenaran dan pengetahuan pemilik data?

“Rakyat tidak mahu data peribadi mereka disalahgunakan pihak yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

Minggu lepas timbul isu pertikaian pengguna didaftarkan tanpa kebenaran menerusi Insan  didakwa menggunakan data peribadi tanpa kebenaran, malah ianya juga telah menimbulkan kebimbangan awam tentang tahap keselamatan data peribadi di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Perkara yang amat serius ini masih belum disiasat pihak polis? Ianya secara terang2an mencuri data peribadi rakyat dan diberikan kepada along. Dalam dunia digital, perbankan, dunia tanpa sempadan dsb ianya amat merbahaya.

    Apa nak jadi dengan negara ini?

Comments are closed.