beras SST nikotin rumah terbuka madani LGBTQ nik elin zurina
Ahmad Yahaya

KUALA LUMPUR – Menteri yang berkenaan diminta turun padang dan menilai sendiri situasi bekalan beras Super Spesial Tempatan (SST) yang sangat berkurangan di pasaran.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahaya berkata, menteri terbabit tidak seharusnya melihat isu itu sebelah mata.

“Apakah kita berdepan dengan masalah sesetengah pihak ‘menyorok’ barangan, apatah lagi ‘mengubah’ beras tempatan kepada beras import bagi menikmati harga yang lebih lumayan?

“Ini persoalan yang wajar ditangani oleh kementerian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin memaklumkan, selain masalah kenaikan harga beras import, ketika ini negara juga sedang menghadapi masalah kekurangan bekalan beras SST 5 peratus (SST5) sejak tiga bulan lalu yang harganya dikawal oleh kerajaan.

Ameer Ali berkata, masalah ketiadaan beras tempatan di pasaran itu sudah berlarutan sejak tiga bulan lalu.

Selain itu, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) turut mengumumkan penyelarasan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan berkuat kuasa kelmarin.

Ahmad yang juga Ketua Dewan Ulama Pas secara sinis memberitahu, kenaikan harga beras putih import sebanyak RM850 satu tan itu mencatatkan sejarah baharu di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang terkenal dengan formula turun harga barang.

“Turunnya tidak, naiknya pula berlipat kali ganda.

“Barangkali akan ada formula segera seperti jangan makan beras import jika harga beras import mahal,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa rakyat mungkin terpaksa memilih beras putih import yang diunjurkan akan dijual pada harga RM39 bagi setiap pek 10 kg minggu depan ekoran sukar mendapatkan beras tempatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. PH jangan asik berkempen sahaja, gaji dibayar rakyat untuk buat kerja, pantau dan kawal harga2 asas barangan rakyat!

    Hidup rakyat semakin hari semakin sempit.

Comments are closed.