KUALA LUMPUR – Persidangan Kebangsaan DAP 2023 bakal melakar sejarah apabila akan dihadiri parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti UMNO dan MCA pada Ahad ini.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim berkata, turut dijemput adalah parti-parti komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan yang mentadbir negara ketika ini.
Menurut beliau, pihaknya kini sedang menunggu maklum balas kehadiran wakil-wakil semua parti itu selepas jemputan dibuat sebelum ini.
“Semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan telah dijemput termasuk perdana menteri ke persidangan yang bakal dihadiri 3,868 perwakilan yang melibatkan 1,530 cawangan yang layak.
“Persidangan ini pertama kali diadakan selepas pilihan raya umum lalu termasuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Persidangan Kebangsaan DAP 2023 akan berlangsung di Hotel Marriot Putrajaya selama sehari akan dihadiri semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan senator daripada parti itu.
Mengulas lanjut, Steven menjelaskan, persidangan itu akan membincangkan usul seperti isu dalaman, dasar dan hala tuju parti.
Namun, kata beliau, perwakilan bebas membangkitkan isu slogan ‘Malaysian Malaysia’ yang menjadi kembali menjadi isu baru-baru walaupun sudah dijelaskan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke. – MalaysiaGazette