Megat Azlani (kanan) melihat keadaan rumah yang dibaik pulih di bawah Program MyHaus di Kampung Melayu, Machap Baru, Alor Gajah, Melaka hari ini

ALOR GAJAH – Sebanyak 1,595 ketua isi rumah (KIR) di Melaka berstatus miskin tegar dengan jumlah pendapatan bulanan isi rumah pada kadar RM1,289 setakat 31 Ogos lalu.

Pengarah Pejabat Pembangunan Melaka, Megat Azlani Megat Ramli berkata, pelbagai usaha dilakukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk memastikan kumpulan itu dapat dikeluarkan dari status tersebut Disember ini.

“Semua mereka ini akan kita santuni melalui pelbagai inisiatif dan bantuan perniagaan sejajar dengan hasrat Kerajaan Pusat yang mahu capai sifar miskin tegar akhir tahun ini.

“Antaranya adalah melalui Program Usaha Kasih (U Kasih) yang kita telah berjaya keluarkan kesemua 45 peserta terlibat daripada kepompong miskin tegar tahun ini,” katanya.

Megat Azlani Megat Ramli

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan baik pulih rumah peniaga, Suhaila Jaafar, 37, di bawah Program MyHaus di Kampung Melayu, Machap Baru hari ini.

Hadir sama Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Parihah Hasan dan Pengurus YaPEIM Melaka dan Negeri Sembilan, Azharry Giman.

Mengulas lanjut Megat Azlani berkata, di bawah U Kasih, peserta akan diberi bantuan perkakasan perniagaan sehingga maksimum RM5,000, selain latihan untuk membantu mereka.

“Antara yang membanggakan kita adalah apabila ada peniaga asam pedas yang dulunya berniaga di tepi jalan kini mampu menyewa kedai majlis (pihak berkuasa tempatan) sehingga meraih jualan RM10,000 sebulan.

“Selain asam pedas, perniagaan lain adalah kedai gunting rambut serta kedai kek dan semua peserta yang berjaya ini berusia bawah 40 tahun iaitu umur produktif,” katanya.

Parihah Hasan

Sementara itu, Parihah berkata, YaPEIM memperuntukkan sejumlah RM120,000 di bawah Program MyHaus pada tahun ini untuk dua kos baik pulih rumah bernilai RM20,00 setiap satu dan pembinaan rumah baharu berjumlah RM80,000.

“Bagaimanapun, jika ada keperluan kita boleh tambah sehingga lima buah rumah keseluruhannya melibatkan peruntukkan sehingga RM200,00,” katanya. – MalaysiaGazette