JASIN – “Ketika sedang berurusan di kaunter, tiba-tiba saya terdengar satu tembakan sangat kuat dan ketika itu, sangkaan saya bank sedang dirompak,”.
Itu pengalaman diceritakan, Nurul Ain Jumaat, 20, saksi kejadian seorang polis bantuan yang dipercayai secara tidak sengaja melepaskan tembakan ke arah lantai di sebuah bank di Jasin, di sini tengah, hari tadi.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 tengah hari ketika dia sedang berurusan untuk memasukkan duit di kaunter bank yang ketika itu tidak terlalu sesak.
“Saya sampai di bank sekitar pukul 1 tengah hari dan selepas kira-kira 30 minit saya terdengar bunyi satu tembakan amat kuat dari arah belakang menyebabkan saya sangka bank sedang dirompak.
“Selepas itu, suasana sunyi sebelum beberapa petugas bank bergegas keluar dan waktu itu barulah saya terlihat seorang lelaki polis bantuan dalam keadaan tergamam sambil melihat lantai jubin bank yang sudah pecah.
“Pada masa sama, saya terdengar beberapa pelanggan mengerang kesakitan dan saya sempat menenangkan seorang daripada mereka yang mengadu sakit di bahagian paha,”katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Dia yang bekerja di sebuah syarikat telefon bimbit di pekan Jasin berkata, ketika itu polis bantuan terbabit yang berumur lewat 50-an sedang terduduk seolah-olah terkejut dengan kejadian itu.
“Pada masa sama, kakitangan bank meminta pelanggan beredar sebelum pihak polis tiba kira-kira 10 minit kemudian.
“Mujurlah tiada kejadian lebih buruk dan tembakan itu hanya mengenai lantai menyebabkan jubinnya terpelanting dan terkena pada pelanggan di situ,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi mengesahkan kejadian dan akan mengeluarkan kenyataan media mengenai kejadian petang ini. – MalaysiaGazette