Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari melawat tapak pameran penerbangan ketika hadir ke Pameran Udara Selangor 2023 di Skypark RAC, Bukit Jelutong, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 07 SEPTEMBER 2023.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor membuat keputusan tepat dengan meletakkan industri aeroangkasa dan udara sebagai tempat khusus dalam Rancangan Selangor Pertama (RS1) yang dilancarkan setahun lalu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari menjangkakan industri itu menyumbang 67 peratus daripada ekonomi aeroangkasa Malaysia sepanjang tempoh RS1 yang bermula Ogos tahun lalu.

Katanya, rancangan itu juga selaras dengan usaha kerajaan Persekutuan menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, yang merupakan peluang besar kerajaan negeri dalam menjana ekonomi negeri dan negara khususnya.

“Kita bersyukur kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) mengekalkan pentadbirannya bagi penggal PRU15 bagi membolehkan kita meneruskan perancangan memajukan Selangor dan rakyatnya.

“Menerusi tempoh penggal ini, kita merancang untuk membentuk pentadbiran baharu yang dinamakan Lembah Klang Besar yang akan menghubungkan bandar utama seperti Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang.

“Ini akan menjadi pentadbiran Selangor yang padu dengan menawarkan perkhidmatan lancar melalui pendigitalan dan automasi serta gaji bagi sektor swasta yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 di Skypark RAC, Bukit Jelutong, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan & Perdagangan, Pembangunan IKS & Wilayah Ekonomi Baharu, Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.

Di awal ucapan perasmian, beliau mengajak pengunjung beragama Islam membaca surah Al-Fatihah dan yang bukan Islam bertafakur satu minit untuk mengingati tragedi nahas pesawat yang mengorbankan 10 nyawa di kawasan perumahan Elmina, dekat sini, minggu lalu.

Kira-kira 50 pesawat statik dan pempamer dari enam negara iaitu Amerika Syarikat, Perancis, Denmark, Jerman, Republik Czech dan Australia mengambil bahagian dalam SAS yang berakhir Sabtu ini.

Menurut Amirudin, SAS dicetuskan kira-kira tiga tahun lalu selepas beliau dan rombongan kerajaan negeri melakukan lawatan ke Pameran Udara Paris di Le Bourget dan Pameran Udara Farnborough Hampshire di United Kingdom.

Kata beliau, kerajaan negeri bercadang untuk membangunkan kawasan seluas 2,000 ekar untuk menjadikan Taman Aero Selangor iaitu taman perindustrian aeroangkasa.

“Taman Aero Selangor ini berfungsi untuk pengubahsuaian pesawat, pusat inovasi, hangar pintar yang canggih, kemudahan bilik ujian, sambil menyambungkan landasan sedia ada untuk memudahkan pergerakan pesawat keluar masuk.

“Selain itu, kerajaan negeri bersedia untuk memanfaatkan sepenuhnya industri dron melalui Pusat Kecemerlangan Dron Selangor (SDCoE) yang akan memberi tumpuan kepada pesawat ringan, pesawat laut, UAV dan juga penerbangan sukan.

“Semua ini mewakili bidang utama dalam RS1 dan Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor untuk mempercepatkan pertumbuhan, pelaburan dan menawarkan pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat Selangor,” katanya.

Kata beliau, SAS tahun lepas merekodkan potensi urus niaga bernilai sehingga RM1.069 bilion dan jumlah itu bukan sekadar statistic, tetapi bukti kerja keras dan dedikasi rakyat, visi kerajaan negeri dan sokongan rakan kongsi Selangor.

Jelas beliau, seperti industri lain, penerbangan juga perlu bersaing dengan cara terbaik untuk menyesuaikan diri menerusi perubahan iklim dan kriteria Alam Sekitar, Kelestarian dan Tadbir Urus (ESG). – MalaysiaGazette