IMBAS KEMBALI. Anggota forensik memeriksa dan membawa keluar mangsa-mangsa kejadian pesawat ringan yang terhempas di sekitar bandar Elmina, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 17 OGOS 2023.

MELAKA – Dua juruterbang nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, Ogos lalu bakal dianugerahkan Pingat Anugerah Presiden
Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Melaka pada Majlis Anugerah Pingat dan Sijil Pengakap Raja Negeri Melaka esok.

Unit Komunikasi Korporat PPM berkata, anugerah terhadap Allahyarham Kapten Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, 35, dan Allahyarham Kapten Heikal Aras Abdul Azim, 45, akan disampaikan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

“Mohamad Naim Fawwaz merupakan Ahli Jawatankuasa Pengakap Udara Negeri Melaka manakala Heikal Aras ialah Pesuruhjaya Ibu Pejabat Negeri Melaka (Program Pengakap Udara).

“Pada majlis penganugerahan tersebut, Tuan Yang Terutama Tun juga akan menyampaikan Pingat PPM Negeri Melaka kepada kesemua 69 penerima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, seramai 25 tokoh bakal menerima Anugerah Gemilang Presiden termasuk Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Darat (MK TD), Mejar Jeneral Azhan Md. Othman.

Anugerah Gemilang Presiden yang mula diperkenalkan pada tahun 2000, dianugerahkan kepada individu yang telah menyumbang perkhidmatan gemilang dan terpuji kepada Pergerakan PPM Negeri Melaka.

“Dalam pada itu, seramai 44 individu bakal menerima Anugerah Presiden yang mula dizahirkan pada tahun 1998 kepada mereka yang telah berbakti dan berjasa serta memberikan perkhidmatan yang berterusan kepada Pergerakan PPM Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette