Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadang memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar serendah dua peratus bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada pembentangan Bajet 2024.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, kadar dua peratus itu dianggap permulaan dalam usaha melaksanaan semula GST sebagai mekanisme percukaian yang mampu menjana pendapatan negara melalui kaedah kutipan kadar cukai yang lebih ampuh.

Menurutnya, pelaksanaan semula cukai telah diperakui mampu menyelesaikan masalah ketirisan cukai terutamanya daripada Ekonomi Gelap yang kini berjumlah RM500 billion iaitu 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Kegiatan ekonomi gelap yang tidak terkawal bukan sahaja merugikan negara dan rakyat tetapi turut menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah korporat dan komersial serta kegagalan negara membanteras aktiviti rasuah pencatutan harga secara tuntas.

“Gejala ali baba Ekonomi gelap yang tidak bertanggungjawab juga tidak adil kepada peniaga sebenar yang mematuhi undang-undang serta melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sidang meja bulat berkenaan Dasar Fiskal Negara dan Langkah ke Hadapan di pejabat DPMM di sini hari ini.

Sesi perbincangan meja bulat itu telah dihadiri oleh 30 peserta terdiri daripada kalangan pakar ekonomi, pemain dan penggerak industri merangkumi pelbagai sektor perusahaan dan perkhidmatan, pimpinan pertubuhan madani serta wakil daripada agensi kerajaan dan penggubal dasar.

Sidang media sidang meja bulat berkenaan Dasar Fiskal Negara dan Langkah ke Hadapan di pejabat DPMM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Norsyahrin menambah, antara rumusan hasil sidang meja bulat itu, pihak telah sepakat untuk mengesyorkan beberapa cadangan kepada kerajaan sebagai langkah ke hadapan bagi mencipta dasar fiskal yang lebih mapan dan saksama.

Jelas beliau, selain mengembalikan GST pada kadar pengenalan semula sebanyak dua peratus, sebahagian besar kutipan hasil cukai itu perlu dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk bantuan tunai bulanan.

Tambahnya, kerajaan juga dicadangkan mengurangkan kadar Cukai Pendapatan Korporat untuk Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada 15 peratus kepada 10 peratus.

“Kesimpulannya dengan jangkaan kadar defisit melebihi enam peratus pada tahun ini, kami menuntut agar kerajaan terus mengutamakan kebajikan rakyat dengan menyediakan peruntukan fiskal yang lebih sepadan dengan keperluan mereka.

“Sebagai contoh menetapkan sasaran lima daripada KDNK untuk perbelanjaan kesihatan di samping mengoptimumkan perkhidmatan penjagaan kesihatan awam dan swasta yang kini berada pada tahap kritikal,” katanya.

Norsyahrin memberitahu, sidang meja bulat itu turut memahami cabaran fiskal yang sedang dihadapi kerajaan lantaran iklim ekonomi pasca pandemik yang masih belum stabil.

Kata beliau, pihaknya juga sedar dengan komitmen kerajaan untuk melunaskan hutang yang tinggi mencecah RM1.2 trilion di samping cuba mengekalkan pemberian subsidi dalam sektor-sektor utama bagi menangani kerentanan hidup rakyat khususnya golongan B40.

“Komuniti niaga juga turut terpukul teruk lantaran kuasa beli pengguna yang terus merosot, peningkatan kos barangan dan banyak lagi sedangkan kadar gaji dan upah kekal rendah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast