MELAKA – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut akibat tercekik anggur, dalam kejadian di Taman Merbok, dekat Bukit Katil di sini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, Nur Aryanna Danisha Muhamad Shaizat meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Melaka pada pukul 9.23 pagi tadi.
Menurutnya, berdasarkan soal tanya kepada Pegawai Perubatan Hospital Melaka, kanak-kanak itu dipindahkan ke Hospital Melaka kira-kira pukul 8.18 malam 31 Ogos lalu.
“Kanak-kanak berkenaan sebelum itu mendapatkan rawatan awal di sebuah hospital swasta di Bukit Katil selepas keluarganya menyedari dia tercekik semasa makan buah anggur.
“Doktor di sana berjaya mengeluarkan buah anggur tersebut namun pesakit dalam keadaan tidak stabil dan perlu menggunakan alat bantuan pernafasan sebelum dipindahkan ke wad PICU Hospital Melaka,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Tambahnya, selepas 10 hari dirawat, doktor mengesahkan pesakit meninggal dunia 9.23 pagi tadi dengan punca kematian adalah adalah ‘Hyporxic Ischaemic Encephalopathy secondary to choking’.
“Pihak Hospital Melaka tidak membuat laporan polis berkenaan kematian tersebut dan setakat ini, tiada laporan polis dibuat oleh pihak keluarga kanak-kanak itu,” katanya. – MalaysiaGazette.
















