Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Kejayaan Pakatan Harapan mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bererti Barisan Nasional Johor berjaya menterjemahkan aspirasi perpaduan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, barisan kepimpinan UMNO yang diterajui oleh presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah bekerja keras memastikan kemenangan calon-calon PH ini.

“Terima kasih kepada Presiden BN serta barisan kepimpinan BN Johor diterajui Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang tidak lekang berusaha memperjuangkan kestabilan kerajaan melalui kempen berterusan dan menggerakkan jentera BN membantu kedua-dua calon ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Azalina menyifatkan PH-BN telah berjaya melalui ujian ketiga ini atas landasan perpaduan kerana apa yang dicanang dan dilaksanakan di peringkat Kerajaan Pusat bukan sekadar retorik.

Sebaliknya, sebaliknya kesungguhan untuk mengenepikan perbezaan politik.

“Keyakinan pengundi terhadap dua wakil rakyat ini juga perlu diterjemahkan oleh kerajaan dengan melipat gandakan segala usaha untuk menangani apa juga isu komuniti, ekonomi dan kehidupan yang dihadapi rakyat,” katanya.

Keputusan PRK semalam menyaksikan calon PH Suhaizan Kaiat dan Nazri Abdul Rahman, masing-masing memenangi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast