PUTRAJAYA – Selepas diasak beberapa kali untuk meminda Perlembagaan supaya slogan Malaysian Malaysia digugurkan, DAP hari ini menegaskan parti itu kini memperjuangkan sosial demokrasi dan bukannya komunis.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, masyarakat Melayu khususnya UMNO tidak perlu bimbang lagi dengan perjuangan DAP kerana parti itu mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
“Sebagai sebuah parti yang berlandaskan ideologi sosial demokrasi, kita mengamalkan pendekatan dan doktrin politik pertengahan.
“Sosial demokrasi ditakrifkan sebagai pertengahan kiri, kita bukannya parti komunis.
“Masyarakat Melayu tidak perlu ada apa-apa kebimbangan terhadap DAP, perjuangan DAP ini mengikut lunas undang-undang.
“Kita mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, berlandaskan lima prinsip Rukun Negara yang kita berikrar, landasan sama yang diambil oleh DAP,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kebangsaan DAP 2023, di Hotel Marriot, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyarankan DAP menggugurkan agenda Negara Sekular dan slogan Malaysian Malaysia dalam perlembagaan parti itu.
Nur Jazlan berkata, tiada cara lain untuk meyakinkan orang Melayu bahawa DAP hari ini sudah berbeza dari sebelum ini.
Beliau berkata, dua agenda itu menjadi trauma kepada orang Melayu dan membuatkan mereka tidak boleh menerima perjuangan DAP.
Dalam pada itu, DAP kini mengambil pendekatan sederhana dalam politik parti itu khususnya dalam segala keputusan, dasar dan pendekatannya.
“Sudah sampai masanya semua parti terutamanya parti-parti yang mendokong Kerajaan Perpaduan, semua parti harus mengambil jalan pertengahan
“Kita mesti tarik kesemua parti ke arah graviti kita, di tengah-tengah. Kita mesti jadi politik pertengahan di negara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette