PUTRAJAYA – Persidangan Kebangsaan DAP 2023 mencatatkan sejarah apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi tetamu kehormat pertama kali dalam sejarah selepas 66 tahun negara merdeka.

Kemunculan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu bagaikan memecah tradisi DAP apabila berjiwa besar untuk menjemput pimpinan bekas seteru politiknya dan kini menjadi sebahagian daripada parti komponen kerajaan.

Ahmad Zahid yang mengenakan pakaian rasmi BN berwarna biru kelihatan tidak kekok dikerumuni ahli dan pimpinan DAP, malah sempat melakar senyuman sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam dewan persidangan.

Lebih manis lagi kehadiran Ahmad Zahid diiringi dengan kemenangan besar calon Perpaduan, Suhaizat Kayat dan Nazri Abdul Rahman masing-masing dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor, pada Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Sharkar Shamsudin.

Sebelum ini, Persidangan Tahunan DAP 2023 mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya menjemput rakan sekutunya daripada BN terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC untuk hadir persidangan yang diadakan di Hotel Marriot, di sini, hari ini.

Setiausaha Organisasi DAP, Steven Sim Chee Keong dalam sidang media pada Isnin berkata, jemputan itu bagi menghadiri persidangan yang turut dihantar kepada semua parti di dalam Kerajaan Perpaduan.

Persidangan DAP Kebangsaan 2023 itu merupakan acara parti yang pertama selepas pembentukan Kerajaan Persekutuan dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.

Persidangan tahunan DAP itu menyaksikan kehadiran seramai 3,868 perwakilan dan 1,530 cawangan cawangan yang layak di seluruh negara. – MalaysiaGazette