eksport halal
Tengku Zafrul Aziz.

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yakin nilai eksport halal negara mampu mencapai RM63.1 bilion menjelang 2025.

Menurut beliau, prestasi eksport halal Malaysia setakat tahun lalu mencatatkan nilai RM59.46 bilion.

“Kita optimistik akan dapat capai sasaran,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sasaran tersebut dinyatakan Anwar ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata, sejajar dengan RMK12, Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri (MITI) akan terus memacu industri halal berdasarkan dua pelan utama.

Beliau memberitahu, yang pertama adalah Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP2030) yang bertujuan menggalakkan pertumbuhan industri yang berkualiti, inovatif dan berdaya saing.

“Selain membangunkan syarikat-syarikat tempatan yang kompetitif, ia juga bertujuan meningkatkan pembangunan modal insan, memantapkan standard, akreditasi dan perkhidmatan pensijilan, merapatkan jurang kebolehcapaian sokongan kewangan Islam serta menjamin keselamatan dan integriti halal menerusi ekosistem logistik yang mantap,” jelasnya.

Tengku Zafrul menambah, kedua adalah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri 1 September lalu dan akan diterajui MITI di mana ia saling melengkapi dengan HIMP2030.

“Melalui misi-misi NIMP2030, MITI akan berusaha meningkatkan penerapan teknologi dan prinsip kemampanan alam sekitar, sosial dan tadbir urus ESG bagi membina kepelbagaian ekonomi serta daya saing industri halal,” katanya. – MalaysiaGazette