referendum
Badrul Hisham Shaharin

KUALA LUMPUR – Aktivis Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegu Bard telah dibebaskan pada pukul 2.15 pagi tadi.

Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia itu dibebaskan oleh polis selepas selesai dirakam keterangan untuk enam kertas siasatan yang dibuka terhadapnya.

Pembebasan Chegu Bard disahkan oleh Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari menerusi laman sesawang Facebook peribadinya pada hari ini.

“Alhamdulillah CikguBard dibebaskan pagi ini jam 2.15 selepas diambil keterangan.

“Jalan terus! Selamatkan Malaysia,” katanya secara ringkas.

Semalam Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain menerusi sidang media 9.30 malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi mengesahkan sepasukan polis telah membuat tangkapan ke atas Chegu Bard di Jalan Raja Laut pada jam 8 malam tadi.

Katanya, tangkapan Chegu Bard tidak ada kaitan dengan penganjuran Himpunan Aman Selamatkan Malaysia Sabtu ini.

Sebaliknya kata beliau, Chegu Bard ditahan kerana keengganan serta kegagalannya untuk bekerjasama dengan polis untuk menghadirkan diri bagi merakam percakapan berhubung enam kertas siasatan termasuk membabitkan isu Ambalat.

“Pegawai kami memanggil Chegubard beberapa kali untuk proses merakam keterangan tetapi beliau memberi macam-macam alasan dan tidak mahu memberi kerjasama untuk menghadirkan diri bagi merakam percakapan.

“Maka polis tiada pilihan lain dan terpaksa mendapatkan waran tangkap di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 13 September 2023 dan membuat tangkapan ke atas beliau malam tadi (semalam),” tegasnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Alhamdulillah, harapan rakyat agar perhimpunan aman yang dirancang dapat berjalan dengan baik, aman dan tidak diprovokasi oleh pihak2 lain.

    Sambil2 itu boleh juga menyambut hari Malaysia.

Comments are closed.