KUANTAN – Pertama kali mendengar nama kuih celurut mendorong Nur Alia Lubis Zulkifli Lubis,21, menyertai Kursus Penghasilan Kuih Tradisional Brunei.
“Saya menyertai kursus ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kuih celurut ini, tambahan pula tenaga pengajar kursus ini pula memang dari negara Brunei sendiri,” katanya yang merupakan seorang pelajar Diploma Teknologi Makanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas).
Kuih celurut atau kelongsong merupakan kuih tradisional negara Brunei yang sangat mudah dihasilkan.
Penghasilan kuih celurut ini dikongsikan oleh tenaga pengajar Brunei Technical Education (IBTE) Johariani Bakar.
Beliau yang mengajar dalam bidang pemprosesan makanan berkata, kuih ini biasanya menjadi hidangan sarapan pagi atau minum petang.
“Kuih ini diperbuat daripada tepung beras, gula melaka atau boleh pakai gula apong juga, santan dan garam yang diadun sekali kemudiannya dibungkus dalam kelongsong,” ujarnya.
Rusnani Ali, 53, Pensyarah Jabatan Matematik, Sains dan Komputer, Polisas yang menyertai pembuatan kuih ini berkata, beliau juga baru pertama kali mendengar dan merasai kuih celurut.
“Tekstur kuih ini lembut, rasanya sedap, sedikit manis dan berlemak,” ujarnya.
Kursus Penghasilan Kuih Tradisional Brunei yang disertai 17 orang peserta ini merupakan antara pengisian aktiviti sempena Program Pertukaran Pelajar SEA-TVET (2nd SEAMEO TVET Student Exchange Programme) antara pihak Polisas dan IBTE, baru-baru ini.
Seramai enam orang pelajar dan seorang guru pengiring dari IBTE terlibat dalam program ini yang bermula pada 10 sehingga 24 September 2023. Majlis pembukaan program telah berlangsung pada 11 September 2023.
Program pertukaran pelajar ini diadakan bersempena Festival Antarabangsa Agroteknologi (FAA 2023) anjuran IBTE dan Polisas yang bakal berlangsung pada 16-18 Oktober 2023 di Brunei Darussalam.
Sempena FAA 2023, International Conference on Agrotechnology, Food Science & Technology (ICAFST 2023) dan Pertandingan Produk Inovasi turut diadakan.
Pembentangan bagi ICAFST 2023 yang memfokuskan kepada bidang agroteknologi, sains dan teknologi akan berlangsung secara atas talian pada 10 Oktober 2023. Pertandingan Produk Inovasi yang melibatkan pelajar dari IBTE Agro-Technology Campus (ATC) serta POLISAS akan berlangsung pada 17 Oktober 2023 di Brunei Darussalam.
Program Pertandingan Produk Inovasi ini adalah pertama kali diadakan antara kedua-dua buah institusi.
Sebelum ini, program hanya dijalankan secara atas talian yang melibatkan aktiviti pelajar, kuliah, dan lawatan secara maya yang memberikan kejayaan yang besar buat kedua-dua buah institusi. – MalaysiaGazette