7-Eleven
(Dari kanan) Wong Wai Keong, Yuki Ishizuka dan Tan U-Ming ketika melawat sebuah kedai 7-Eleven, baru-baru ini. - Gambar: Ihsan 7-Eleven Malaysia

KUALA LUMPUR – 7-Eleven Malaysia menjalinkan kerjasama strategik dengan 7-Eleven International (7IN) bagi meningkatkan kualiti makanan yang ditawarkan di rangkaian kedai serbaneka itu di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama 7-Eleven Malaysia, Tan U-Ming berkata, sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, syarikatnya akan membina kemudahan kilang komisari yang baharu dengan disokong oleh kepakaran dan teknologi daripada 7IN.

Menurut beliau, kilang komisari tersebut akan berfungsi sebagai lokasi utama untuk pengeluaran, persediaan dan pengedaran pelbagai jenis makanan berkualiti tinggi.

“Kerjasama ini membolehkan kami meningkatkan mutu produk dan perkhidmatan kami dengan menggabungkan teknologi dan jentera terkini di samping menyusun operasi untuk makanan yang lebih berkualiti.

“Kami yakin kerjasama ini akan memberikan pengalaman yang lebih baik daripada yang dijangka oleh pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama 7-Eleven Malaysia, Wong Wai Keong berkata, kemudahan kilang komisari tersebut akan mengubah cara syarikat melayan para pelanggan iaitu dengan menawarkan pilihan makanan yang lebih pelbagai dan menarik.

“Kerjasama ini memastikan para pelanggan kami akan lebih teruja dalam memilih tawaran makanan dan menunjukkan betapa seriusnya kami dalam memberi pelanggan kami pilihan baharu yang menarik dan disukai mereka,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Serantau 7IN, Yuki Ishizuka memberitahu, syarikatnya sentiasa menggunakan proses yang terbaik dari kaedah-kaedah yang didapati berkesan untuk mengoptimumkan operasi dan memastikan proses penjualan yang lancar serta rantaian bekalan yang berkesan.

Sebagai contoh, menurut beliau, ia boleh dilihat dalam pengeluaran produk makanan yang akan datang di mana setiap peringkat akan dipantau dan dianalisis dengan teliti termasuk penilaian dan contoh produk, ideasi menu, pembungkusan, proses pengeluaran, dan peningkatan kualiti bahan mentah dan produk.

“Kami juga mengambil kira tentang budaya makanan tempatan sambil berkongsi teknologi dan kepakaran yang kami peroleh dari Jepun dan negara-negara lain,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap peningkatan yang berterusan, 7-Eleven Malaysia dan 7IN akan memulakan inovasi makanan pada suku ketiga hingga suku keempat tahun ini.

Salah satu usaha utama adalah memperkenalkan menu baharu khas untuk pelanggan yang dihasilkan kilang komisari yang dijadualkan mula beroperasi November ini.

Selain itu, 7-Eleven Malaysia juga telah bekerjasama dengan Fuji Food dengan mengikut garis panduan perundingan yang merangkumi peningkatan pengeluaran.

Ia dilakukan melalui peralatan inovatif, peningkatan kualiti dari pemilihan produk untuk pelanggan membeli dan peningkatan penyelidikan dan pembangunan produk baharu sambil mengoptimumkan pengeluaran, mengekalkan piawaian kebersihan dan mengurangkan kesan kepada alam sekitar. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.