Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo bersama Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan kes rasuah melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan dirinya menipu serta tidak konsisten walaupun diasak beberapa kali oleh pembelaan hari ini pada prosiding di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Bekas Pengarah Syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG), Ibrahim Sahari tetap bertegas dirinya tidak berbohong walaupun selepas peguambela, Gobind Singh mencadangkan kenyataan olehnya di Mahkamah Sesyen Shah Alam tidak sama dengan Mahkamah Sesyen di sini.

Ini juga berkaitan dengan keterangannya mengaitkan wang RM2 juta yang diminta oleh seorang ahli perniagaan, G. Gnanaraja daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli sebelum ini.

Difahamkan Gnanaraja dikatakan meminta wang itu bagi membantu menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kesalahan pengubahan wang haram terhadap Zarul.

Gobind Singh Deo berhujah Ibrahim bersama Zarul yang juga Pengarah CZBUCG, Datuk Zarul Ahmad Mohd telah berbohong di mahkamah ini namun dinafikan saksi.

Dakwa Ibrahim, dirinya konsisten dan tidak berbohong serta soalan yang diajukan kepadanya boleh ditanyakan sendiri oleh pembelaan kepada Zarul.

Gobind: Saya cadangkan anda berbohong dalam mahkamah ini.

Ibrahim: Saya tidak setuju. Saya tidak berbohong.

Gobind: Adakah Zarul beritahu anda dirinya tertipu dengan Gnarajara sebanyak RM19juta?

Ibrahim: Ya.

Gobind: Dalam perbicaraan ini, anda katakan pula bahawa Zarul beritahu kamu dia telah bayar tertuduh jadi adakah kamu tidak konsisten dalam berikan keterangan?

Ibrahim: Itu anda boleh tanya kepada Zarul sendiri. Saya tidak berbohong.

Ketika itu keadaan menjadi sedikit tegang antara saksi dan pembelaan sehingga menyebabkan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi mohon rehat sebentar sebelum disambung bicara.

Semasa prosiding di Mahkamah Sesyen di sini pada 28 Jun 2022, Ibrahim berkata, Zarul mengaku kepada SPRM dan kepadanya bahawa beliau membuat pembayaran kepada Lim selepas dibebaskan daripada tahanan agensi itu.

Ibrahim juga mengaku menyediakan invois serta baucar palsu dan wang itu kemudian digunakan untuk merasuah Guan Eng.

Prosiding kemudian ditangguh dengan Azura menetapkan perbicaraan disambung pada 23 hingga 25 Oktober ini.

Guan Eng sedang dibicarakan atas pertuduhan menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion. -MalaysiaGazette