SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) hari ini menubuhkan 10 Jawatankuasa Portfolio Ahli Dewan Negeri Selangor bagi blok pembangkang sebagai usaha untuk melakukan semak dan imbang kepada kerajaan negeri.
Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah itu bagi memastikan perbahasan wakil rakyat pembangkang memberi fokus kepada isu untuk membantu rakyat.
“Peranan 10 Portfolio Ahli Dewan Negeri Selangor ini adalah untuk mengadakan semak dan imbang kepada peranan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
“Ia bagi memastikan perbincangan dan perbahasan kami dalam dewan itu lebih fokus kepada isu-isu yang dapat membantu rakyat di Selangor khususnya 10 portfolio terpenting dan biasa kita bincangkan.
“Saya percaya dengan kewujudan 10 portfolio ini yang mempunyai 10 ketua dan akan dibantu oleh tiga jawatankuasa lain yang akan dianggotai dalam kalangan ahli-ahli Dewan Negeri yang tidak mengetuai mana-mana portfolio.
“Jadi mereka ini akan menyertai portfolio berkenaan berdasarkan pengalaman, kemahiran dan latar belakang masing-masing,” katanya pada sidang media, di lobi bangunan Annex, di sini, hari ini.
Terdahulu Mohamed Azmin mengetuai barisan 22 Ahli Dewan Negeri Selangor daripada PN mengangkat sumpah dalam Mesyuarat Pertama (Angkat Sumpah) Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor ke-15 di Dewan Negeri Selangor.
Antara 10 portfolio itu ialah Kewangan, Ekonomi, Tanah & Sumber Alam yang diketuai Mohamed Azmin (Bersatu-Hulu Kelang); Pendidikan & Sumber Manusia (Datuk Dr Halim Tamuri-Pas-Paya Jaras); Kerajaan Tempatan, Perumahan & Infrastruktur (Datuk Seri Jamil Salleh-Bersatu-Dengkil) dan Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi & Industri Digital (Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani-Bersatu-Batang Kali).
Lima lagi portfolio itu ialah Generasi Muda & Sukan (Muhammad Hilman Idham-Bersatu Gombak Setia); Agama Islam & Pembangunan Desa (Nushi Mahfodz-Pas-Semenyih); Wanita, Keluarga, Kebajikan & Perpaduan (Nurul Syazwani Noh-Bersatu-Permatang); Pertanian & Industri Agromakanan (Sallehen Mukhyi Pas Sabak) dan Pelancongan & Kebudayaan Warisan Melayu (Datuk Noorazley Yahya-Bersatu-Bukit Melawati).
Dalam pada itu, penubuhan 10 portfolio itu antara lain merupakan satu pendekatan PN untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Inilah pendekatan kami ambil dalam sesi-sesi akan datang kerana ikrar dan janji kami kepada rakyat adalah untuk memberikan khidmat terbaik melalui perbahasan dan perbincangan di dalam sidang Dewan Negeri Selangor,” katanya.
Sementara itu, beliau juga berkata, PN juga akan menganjurkan Retreat dalam kalangan wakil rakyatnya selama tiga hari sebelum sesi sidang Dewan Negeri Selangor bermula.
“Kita belum mendapat tarikh penetapan sesi akan datang, tapi pastinya sebelum sesi akan datang, kita akan mengadakan retreat.
“Ia untuk meneliti aspek perundangan, peraturan mesyuarat, undang-undang tubuh kerajaan negeri supaya perbahasan kita itu berlandaskan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya lagi . – MalaysiaGazette