KUALA LUMPUR – Nama bekas penyerang negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli kini menjadi spekulasi sebagai jurulatih skuad Malaysia Bawah 23 (B23) yang baharu.
Nama jurulatih Penang FC B itu semakin panas dikaitkan dengan jawatan itu selepas bekas penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu memuatnaik satu ciapan di X hari ini.
Ciapan tersebut berbunyi, “Moga dipermudahkan dengan Akmal Rizal turut memuatnaik gambar Wisma FAM di Kelana Jaya.
Walaupun tujuan kedatangannya ke badan induk bola sepak itu tidak diketahui ada yang sudah mengagak beliau kini pilihan utama untuk jawatan jurulatih Harimau Muda.
Sekiranya FAM mahu Akmal Rizal sebagai pengendali skuad B-23 kebangsaan, mereka perlu membayar pampasan kepada Penang FC.
Dia difahamkan masih mempunyai baki kontrak setahun dengan pasukan dari utara tanah air itu.
Selepas E. Elavarasan mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai jurulatih skuad B-23 awal minggu ini, beberapa nama mula dicanang sebagai pengganti beliau seperti Nafuzi Zain, Yusri Che Lah, Nidzam Jamil dan termasuk Akmal Rizal. – MalaysiaGazette