Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Pilihan Raya hari ini membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid, di Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini selepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen yang dikemukakan calon Barisan Nasional (BN), Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Difahamkan perkara ini juga telah disahkan oleh peguam mewakili Che Alias, Yusfarizal Yussof sebentar tadi.

Pada Mei lalu, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan permohonan BN untuk mencabar kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) pada PRU di kerusi Parlimen di Masjid Tanah dan Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU).

Tiga panel hakim ketika itu yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan untuk membenarkan perbicaraan penuh bagi kes tersebut selepas mendengar rayuan calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid dan pengundi Kemaman, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Wan Mohamad Hisham memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Che Alias mendakwa Ahli Parlimen itu atau ejennya telah melakukan rasuah.

Sebelum ini Mahkamah Pilihan Raya di Melaka dan Terengganu membatalkan petisyen terhadap Mas Ermieyati dan Che Alias selepas membenarkan bantahan awal kedua-duanya atas alasan petisyen itu cacat.

Berikutan itu, Abdul Hakim dan Wan Mohamad Hisham memfailkan rayuan untuk mengembalikan semula petisyen tersebut.

Pada PRU15, Che Alias mengekalkan kerusi Kemaman dengan majoriti 27,179 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast