Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menyerahkan surat penjelasan berhubung isu vape itu secara serahan tangan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin di lobi bangunan Parlimen, hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz sedia dikenakan hukuman tegas jika terbukti beliau menghisap rokok elektronik (vape) di dalam bangunan Parlimen.

Beliau berkata, sekiranya terbukti bersalah, wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) dari Kelantan itu sedia dikenakan tindakan tegas mengikut Peraturan Tetap Dewan Rakyat.

“Hari ini saya telah menyerahkan surat jawapan setelah saya menerima surat Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin bertarikh 21 September memohon penjelasan mengenai dakwaan saya telah menghisap vape dalam Dewan Rakyat.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya saya menghisap vape kerana saya bukan perokok, hisap vape dan apa yang saya pegang itu hanyalah sebatang pen.

“Bukan dihisap, pen itu diletakkan di bibir saya secara spontan seketika,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan surat penjelasan berhubung isu vape itu secara serahan tangan kepada Setiausaha Dewan Rakyat.

Jumaat lalu, Ikmal Hisham membuat laporan polis kerana mendakwa difitnah menghisap vape di Dewan Rakyat.

Katanya, laporan polis dibuat pegawai khasnya, Wan Mohd Faisol Ismail di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, jam 11.18 pagi, pada Jumaat.

Ikmal Hisham berkata, penyiaran gambarnya di akaun X (dahulu Twitter) @sadiqasyraf untuk menjejaskan imej, kredibiliti dan reputasi beliau.

“Pemilik akaun X terbabit berniat jahat apabila menuduh saya menghisap vape, sedangkan apa yang saya pegang ketika itu sebatang pen yang secara spontan diletak di bibir seketika sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Ikmal Hisham juga berkata, sekiranya jurugambar Perdana Menteri itu terbabit gagal membuktikan beliau menghisap vape di Parlimen, Dewan Rakyat juga perlu mengambil tindakan tegas kerana memfitnahnya.

“Sebab itu saya meminta kepada Speaker Dewan Rakyat untuk kemukakan rakaman CCTV.

“Dengan CCTV ini, ia dapat membersihkan nama baik saya dan jika terbukti saya menghisap vape saya mohon pada Speaker tindakan tegas dikenakan terhadap saya.

“Jika tuduhan jurugambar perdana menteri terhadap saya tidak benar, saya minta Speaker mengambil tindakan kepada jurufoto itu di bawah peraturan mesyuarat 93,” katanya. – MalaysiaGazette