Dr. Rais Yatim
Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim tidak bersetuju dengan larangan berkaitan 3R (raja, agama dan bangsa) dalam ucapan atau perbahasan

Menurut Rais, ketiga-tiga topik itu adalah rempah-ratus hak rakyat dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

“Semua parti politik mengandungi tiga perkara tersebut sebagai inti kata ucapan dan perbahasan.

“Asalkan Akta Hasutan 1948 tidak dilanggar, berucap mengenai hal-hal pokok ini dibenarkan khasnya di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,” tegas beliau.

Rais berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama perasmian Sambutan Hari Malaysia anjuran Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) di Georgetown.

Tambah Rais, 3R perlu terus diperkatakan kerana ‘tiga tali sepilin’ itu adalah intisari perjuangan rakyat khasnya orang Melayu selama ini.

Menurut beliau, kebebasan dan hak di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan cukup tinggi sekalipun Akta Hasutan ada memperuntukkan batasan.

“Selagi akta itu tidak dipinda oleh Parlimen, selama itulah 3R itu boleh dibahaskan,” kata beliau.

Sementara itu Rais mencadangkan Rukun Negara dijadikan sebagai mukadimah Perlembagaan kerana Malaysia masih tidak mempunyai asas perundangan yang berpaksikan prinsip kenegaraan tinggi.

Bekas menteri Kabinet itu berkata, Rukun Negara yang berusia 53 tahun mesti mempunyai tempat tertinggi dalam Perlembagaan tanah air.

Menurut Rais, selama ini Rukun Negara hanya bersifat sebagai penyeri majlis rasmi tahunan selain penghias buku kulit buku teks dan mural sekolah.

“Rukun Negara tidak diamalkan dalam bentuk program-program asuhan dan latihan bagi ahli-ahli politik, guru, tenaga pengajar institusi pengajian tinggi dan sector swasta yang tanpak bebas dari pemangkinan nilai hidup,” kata beliau.-MalaysiaGazette