Datuk Seri Hamzah Zainudin .

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyelar kerajaan yang didakwa gagal mengambil langkah wajar dalam memperkuatkan nilai ringgit.

Menurut Ahli Parlimen Larut itu, adalah sesuatu yang membimbangkan apabila nilai ringgit semasa jatuh ke paras melebihi RM4.70 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk tiga hari berturut-turut.

Beliau berkata, nilai ringgit yang lemah akan memberi kesan kepada ekonomi negara yang seterusnya akan membebankan rakyat.

“Selama tiga hari berturut-turut ringgit menjunam ke paras melepasi RM4.70. Pada Rabu dan Khamis lalu ringgit terpelosok kepada RM4.71.

“Pagi ini, nilai ringgit masih RM4.70. Ia sesuatu yang membimbangkan kerana kejatuhan berterusan memberi kesan drastik kepada ekonomi dan kadar inflasi negara.

“Bila ekonomi parah – yang merana tentulah rakyat lebih-lebih lagi hampir 52.3% daripada keperluan makanan negara diimport tetapi kerajaan masih lagi kaku dan beku,” katanya.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu turut menempelak Kerajaan Perpaduan yang sebelum ini begitu lantang dan bimbang dengan kejatuhan ringgit ketika PN berkuasa.

Hamzah tidak melihat sebarang langkah pembetulan diambil oleh kerajaan sebaliknya hanya memberikan alasan yang tidak munasabah terhadap isu ekonomi yang membebankan rakyat.

Ini termasuk idea daripada menteri yang meminta rakyat mengubah sikap termasuk meminta supaya tidak makan diluar bagi mengurungkan kos sara hidup.

“Dulu ketika ringgit di paras bawah RM4.50 dialah yang paling lantang mengatakan PN tak reti mentadbir tetapi sekarang bukan sahaja ringgit menjunam ke paras terburuk, bekalan beras pun berdepan krisis yang tak kunjung selesai dan harga barang terus melonjak naik.

“Langkah-langkah intervensi segera yang konkrit dan komprehensif tidak dibuat tetapi yang dia galak hanyalah mencipta alasan demi alasan,” katanya dalam kenyataan.

Hamzah berkata, kerajaan tidak harus melenting jika ada pihak yang melabelkan pemerintah sebagai gagal berikutan ketidakupayaan mengatasi isu ekonomi yang semakin teruk.

Beliau menegaskan, selepas hampir setahun menjadi kerajaan apa yang diingini oleh rakyat adalah untuk meilhat hasilnya.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. musuh politik dan negara terus berusaha menebuk atap. ruginya Malaysia Dan pembayar cukai kerana mempunyai pembangkang yg hanya tahu mencari Salah Dan bukan idea penyelesaian.

Comments are closed.