Tinjauan telah dilakukan Hassa pada Jun lalu namun sehingga kini penyelesaian jambatan di kampung berkenaan tidak dibina.

JOHOR BAHRU – Susulan keresahan penduduk Plentong mengenai jambatan di kampung berkenaan yang dibimbangi runtuh mendapat perhatian Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pasir Gudang.

Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pasir Gudang, Murad Jailani berkata, pihaknya  telah menerima aduan daripada penduduk berkaitan isu jambatan hampir roboh ke laluan masuk Kampung Sungai Plentong pada awal bulan Jun 2023.

Susulan itu satu lawatan bersama Pegawai Daerah Johor Bahru, JKR (D) Johor Bahru, ADO Pembanguan Fizikal, Penghulu Mukim dan wakil penduduk setempat telah turun ke lokasi pada 10 Jun 2023.

Ia merujuk kepada berita yang dikeluarkan oleh MalaysiaGazette di laman Facebook pada 29 September 2023 dengan tajuk “Tunggu Janji YB, Penduduk Plentong Resah Jambatan Roboh.

“Berdasarkan penelitian pihak JKR dan Pejabat Daerah, kerja-kerja baik pulih adalah membabitkan pembinaan tembok penahan, crossing culvert dan menurap semula jalan dianggarkan menelan kos sebanyak RM100,000.

Pejabat Daerah Johor Bahru juga telah mengeluarkan satu surat bertarikh 19 Jun 2023 kepada Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim bagi memohon peruntukan bagi kerja baik pulih jambatan berkenaan.

“YB Hasan pada 22 Jun 2023 telah bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000.00 melalui Peruntukan Mesra Rakyat di bawah Pejabat Perdana Menteri bagi membantu melaksanakan kerja-kerja berkaitan. Peruntukan tersebut telah diserahkan kepada pihak ICU JPM untuk semakan dan kelulusan ke peringkat Pejabat Daerah,” katanya menerusi kenyataan medianya hari ini.

Katanya, kerja pembinaan ini telah melalui beberapa proses yang ditetapkan oleh pejabat daerah.

“Setelah  peruntukan disalurkan oleh pihak ICU JPM kepada Pejabat Daerah, Jurutera Awam Pejabat Daerah JB telah membuat lawatan tapak pada 16 Ogos 2023 bagi penyedian BQ.

Pada 11 September 2023, satu sesi cabutan undi telah dijalankan oleh Pejabat Daerah JB bagi melantik kontraktor untuk kerja-kerja berkaitan.

“Seterusnya pada 27 September 2023 proses kelulusan inden oleh Pegawai Daerah Johor Bahru telah dikeluarkan untuk melantik syarikat QE EMPIRE SERVICES sebagai kontraktor yang akan membuat kerja-kerja terbabit.

“Kerja-kerja baik pulih dijangka bermula sekitar Oktober 2023,” katanya.

Bagi menjawab laporan berita MalaysiaGazzette, Hasan telah berusaha membantu menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh penduduk setempat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Penduduk Plentong tagih janji Ahli Parlimen bina jambatan baharu