LRA Tok Bali
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas menafikan dakwaan kononnya terdapat arahan supaya lima jawatan utama parti itu tidak dicabar pada pemilihan yang akan berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini.

Sebaliknya, Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas tidak menghalang mana-mana pihak daripada merebut jawatan berkenaan.

“Ada pihak menuduh kononnya Pas mengeluarkan arahan agar ‘top five’ tidak dipertandingkan.

“Saya ingin tegaskan bahawa parti tidak pernah menghalang mana-mana kawasan untuk mencalonkan sesiapa sahaja untuk mana-mana jawatan.

“Bahkan saya sewaktu merasmikan mesyuarat agung beberapa kawasan, memohon agar mereka mencalonkan orang lain untuk jawatan timbalan presiden,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Semalam, Pas mengesahkan Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal menerajui parti itu selepas lima jawatan tertinggi parti tersebut tidak dicabar dalam pemilihan pada Muktamar Tahunan Pas ke-69.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, tiada pertandingan bagi jawatan presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden.

“Untuk jawatan presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden, hanya ada satu pencalonan iaitu mengekalkan jawatan yang ada.

“Jadi, pertandingan tahun ini hanya melibatkan pemilihan ahli jawatankuasa Pas Pusat,” katanya seperti dilaprkan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, jawatan merupakan suatu amanah yang perlu dipikul seandainya dipilih.

“Berkat kerjasama jamaah insya-Allah jamaah ini akan terus diberkati Allah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada pertandingan untuk jawatan ‘top five’ Pas – Takiyuddin