Datuk Hishamuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), sekali lagi berjaya membawa pulang seorang rakyat Malaysia dari Kemboja malam tadi.

Misi kali ini lebih bermakna kerana mendapat kerjasama polis Kemboja dan International Justice Mission (IJM) serta berjaya menumpaskan ketua sindiket bersama konco-konco sebelum berjaya menyelamatkan mangsa.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim, mangsa ini telah ditipu sindiket pekerjaan dan diseludup masuk ke Sihanoukville sebelum dipaksa menjadi seorang ‘scammer’.

Hishamuddin mendedahkan, pihak keluarga mangsa telah berhubung dengan MHO dan memaklumkan keadaan anak mereka yang ditipu sindiket pemerdagangan aktif di Kemboja dan Myanmar.

“Ini satu kejayaan besar kerana keseluruhan sindiket itu dapat ditumpaskan dengan bantuan maklumat disalurkan MHO, pihak berkuasa berjaya menangkap ketua dan ahli-ahli lain.

“Kami ingin ucapkan terima kasih kepada pihak-pihak ini terutamanya polis Kemboja, IJM, kedutaan, JSJ, ATIPSOM D3 dan juga Imigresan.

“Kita dapat maklumat Kemboja bukanlah tumpuan utama sebaliknya Myanmar. Fokus kita juga di negara itu kerana begitu ramai rakyat kita yang jadi mangsa sedang terperangkap tanpa bantuan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

 

Warga MHO di KLIA2 menunggu mangsa pemerdagangan manusia yang berjaya diselamatkan NGO berkenaan semalam.

Hishamuddin juga memaklumkan mangsa telah diberikan akses kepada telefon yang menyebabkan kerja menyelamat ini menjadi lebih senang.

“Mangsa selalunya dijanjikan kerja di tempat lain dengan gaji lumayan sebelum diperangkap dan dipaksa masuk ke lokasi sindiket ini. Rata-rata mereka akan dipaksa dengan cara menggunakan kekerasan seperti dipukul dan penderaan lain sebelum mangsa bersetuju menjadi scammer.

“Jika kita dengar kisah mereka, memang kasihan. Rata-rata mangsa ini datangnya dari keluarga susah dan sanggup keluar kerja di negara luar tapi akhirnya perangkap dengan sindiket tidak berperikemanusian ini,” ujarnya.

Bulan lalu, MHO telah menyelamatkan seorang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Individu itu juga menjadi mangsa penderaan hampir beberapa bulan sebelum lolos keluar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast