KUALA LUMPUR – Kerajaan menyalurkan sebanyak RM1 juta sebagai bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang kini sedang dizalimi oleh Israel.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyaluran bantuan itu akan dimasukkan menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) dikendalikan oleh Kementerian Luar.
Menurutnya, penyaluran bantuan itu adalah sebagai tindakan segera kerajaan Malaysia bagi membantu rakyat Palestin.
“Sebagai tanda solidariti, saya menyeru Ahli Yang Berhormat yang berada di luar dan dalam dewan ini untuk turut sama-sama menghulurkan sumbangan dalam tabung yang telah disediakan di luar dewan atas persetujuan Speaker.
“Saya harap tabung itu dapat diisi dan kita serahkan kepada Kementerian Luar,” katanya ketika menggulung usul berhubung perkembangan semasa konflik Palestin-Israel di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan terus memudahkan cara urusan penyaluran bantuan kepada rakyat Palestin dengan segera.
Beliau juga menyarankan semua pihak menggunakan #SolidarityForPalestine di media sosial masing-masing.
“Insya-Allah hari Jumaat ini, kita tidak memerlukan mana-mana parti politik atau mana-mana pertubuhan menganjurkan perhimpunan menyokong Palestin.
“Kita bersama-sama untuk turun bagi mendukung perhimpunan Palestin,” katanya.
Terdahulu hari ini, Ahmad Zahid ketika mengemukakan usul berhubung perkembangan semasa konflik Palestin-Israel di Dewan Rakyat berkata, Malaysia kekal berpendirian agar rakyat Palestin dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel.
Ia termasuk hak untuk mengembalikan tanah yang telah dirampas oleh zionis dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, katanya.
Tambahnya, pendirian lantang dan tegas Malaysia berhubung perkara itu telah kerap kali dinyatakan secara jelas dan terang di setiap lapangan, keadaan dan masa. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Malaysia kekal pendirian mahu hak rakyat Palestin dikembalikan – Zahid