Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Masjid seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini akan mengadakan solat sunat hajat dan membaca doa Qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan umat Islam di Palestin, selepas solat isyak malam ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata masjid dan surau di Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut diminta untuk melakukan solat hajat pada tarikh dan waktu yang sama.

“Saya menyeru supaya seluruh umat Islam menunaikan solat sunat hajat dan membaca doa Qunut Nazilah serta bermunajat untuk saudara-saudara Islam di bumi Gaza, Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Na’im turut menyeru majlis dan jabatan agama Islam negeri-negeri untuk bersama-sama menyahut saranan berkenaan dengan mengadakan solat hajat di masjid dan surau di negeri masing-masing.

Pada Sabtu lepas, Ketua Tentera Hamas Mohammed Al-Deif mengisytiharkan permulaan operasi ketenteraan dinamakan Operasi Banjir Al-Aqsa untuk menentang Israel susulan serangan roket bertubi-tubi dari Semenanjung Gaza.

Rentetan itu, tentera Israel melancarkan Operasi Pedang Besi terhadap Hamas di Semenanjung Gaza. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast