Nor Hisham.

BALIK PULAU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menempatkan aset air dan udara di tiga zon Semenanjung sebagai persediaan menghadapi banjir susulan peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku bulan depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, penempatan aset awal itu dilakukan sebagai langkah mempercepatkan pergerakan operasi menyelamat mangsa di lokasi berlaku banjir.

Jelas beliau, lokasi penempatan aset itu dikenal pasti berdasarkan turutan banjir daripada Jabatan Meteorologi (Met Malaysia).

“Kita juga mengambil kira pengalaman insiden banjir lima tahun kebelakang termasuk banjir pada 2021 dalam mengkordinasi persediaan kali ini.

“Sehubungan itu, kita akan menempatkan sebahagian aset air di Akedemi Bomba dan Penyelamat Malaysia di Marang, Terengganu bagi Zon Timur manakala Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Johor bagi Zon Selatan.

Nor Hisham (tengah) bergambar dengan anggota bomba sukarela pada Majlis Konvensyen Pasukan Bomba Sukarela Zon Utara di White Camp di Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

“Bagi Zon Utara, aset air akan ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda, Pulau Pinang manakala aset udara pula di Pangkalan Udara Wilayah Utara JBPM di Bertam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvensyen, Pasukan Bomba  Sukarela Zon Utara di White Camp di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Nor Hisham berkata, pihaknya juga kini menguna pakai kaedah menunggu banjir berbanding respon selepas berlaku banjir.

“Jika dahulu bila ada panggilan banjir baru kita ke lokasi namun dalam insiden banjir 2021 timbul masalah susah akses atau lambat ke lokasi disebabkan terputus jalan jadi kita tidak mahu perkara sama berulang kita tempatkan awal aset agar mudah untuk respon cepat,” jelas beliau.

Sementara itu, Nor Hisham berkata, sebanyak 4,975 lokasi membabitkan 79 daerah di seluruh negara dikenal pasti sebagai kawasan panas banjir untuk kali ini.

“Kebanyakan lokasi panas membabitkan Pantai Timur serta Pantai Barat dan lokasi panas tersebut dikenal pasti berdasarkan kejadian sebelum ini serta analisa agensi berkaitan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Met Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah memaklumkan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula November ini dan berakhir pada Mac tahun depan.

“Dalam tempoh MTL kali ini, empat hingga enam episod hujan lebat yang signifikan dijangka berlaku dan boleh mengakibatkan banjir iaitu dari November ini hingga Februari tahun depan.

“Di Kelantan, Terengganu dan Pahang, episod hujan lebat berlaku antara November hingga Disember 2023, manakala mulai Disember ini hingga Januari tahun depan, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya hari ini.