Mohammed Taufiq Johari

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari menggesa Speaker Dewan Rakyat meluluskan usul untuk membahaskan isu penyorokan beras putih tempatan seberat 180 tan metrik di sebuah kilang di Kedah, Isnin lalu.

Mohammed Taufiq berkata, ia perlu dibahaskan dengan segera kerana tindakan penyorokan beras itu satu pengkhianatan kepada rakyat yang kini terbeban dengan krisis makanan ruji itu di negara ini.

“Bagi saya isu kekurangan beras ini telah berbulan lamanya, isu ini telah timbul dan terdapat beberapa faktor yang disyaki salah satunya penyorokan beras. Hal ini telah terbukti dengan dijumpai ada penyorokan beras.

“Isu ini perlu disegerakan dan perlukan penjelasan penuh daripada pihak berwajib dan perlu dibahaskan di dalam Parlimen dan kita perlu rungkai siapakah yang bertanggungjawab di dalam jenayah ini,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Isnin lalu, sebuah kilang beras di Kedah disita selepas didapati menyorok 180 tan metrik beras putih tempatan dalam gudang simpanan yang tidak dinyatakan dalam lesen.

Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, kejayaan itu hasil operasi Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) bersama Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis).

Menurutnya, ketika operasi dijalankan, pihaknya mendapati 180 tan metrik beras bergred Super Spesial Tempatan 5 peratus (SST5) atau beras putih tempatan berada dalam kampit jumbo disorok di gudang yang tidak dinyatakan dalam lesen bernilai RM405,000.

Dalam pada itu, Mohammed Taufiq juga berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap pihak yang menyorokkan beras terbabit dan Parlimen pula perlu merungkai permalasahan itu dengan segera.

“Siapa pun pelaku ini janganlah mengambil kesempatan dalam kesempitan rakyat kian merana kini dan ia satu pengkhianatan terbesar yang dilakukan oleh pihak berkenan

“Saya harap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera dan Parlimen ini menjadi medan untuk kita berbahas dan merungkai isu sebenar dan saya harap lebih ramai ahli Parlimen menyuarakan perkara ini.

“Ini menjadi tanggungjawab saya untuk membawa isu ini kerana isu ini amat dekat dengan hati saya dan ini telah menyebabkan kerugian rakyat kedah atas pengkhianatan pelaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast