Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan situasi yang dihadapi oleh Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid merupakan kehendak peribadinya sendiri.

Ini kerana dakwanya, Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu tidak pernah menghubungi atau bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Justeru, menurut Ahmad Zahid, tidak mungkin ada perbincangan antara Perdana Menteri dengan Ahli Parlimen Perikatan Nasional itu berhubung sokongan yang diberikan oleh beliau terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Mengenai kedudukan Ahli Parlimen Kuala Kangsar tidak pernah disebut oleh Perdana Menteri dalam ucapan belanjawan ini. Jadi, kita jawab waktu lain.

“Tetapi, Kabinet telah dimaklumkan pagi tadi bahawa ahli Parlimen Kuala Kangsar tidak pun menelefon atau pun bertemu dengan Perdana Menteri apatah lagi mengadakan perbincangan dengan mengenai sokongan beliau kepada Kerajaan Perpaduan ini, tanpa beliau sendiri keluar daripada partinya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Lobi Parlimen sejurus selepas pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, beliau ditanya mengenai dakwaan kononya berlaku penyalahgunaan kuasa bagi melakukan intimidasi serta ugutan terhadap pemimpin pembangkang sebagaimana yang dihadapi oleh Iskandar Dzulkarnain.

Semalam, media melaporkan Iskandar Dzulkarnain memutuskan untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Bagaimanapun, hari ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan mendakwa, Iskandar Dzulkarnain telah diugut dan berlaku intimidasi terhadap beliau.

Menurut Hamzah, dakwaan itu dibuat bagi mendapatkan sokongan agar Kerajaan Madani kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast