MELAKA – Melaka akan menubuhkan jawatankuasa khas pembersihan pantai dianggotai pemimpin dan masyarakat setempat sebagai persediaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, beliau akan mengusulkan cadangan itu ke peringkat tertinggi kerajaan.
“Paling penting, jawatankuasa bukan sahaja melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri tapi juga harus melibatkan komuniti setempat
“InsyaAllah kita akan usulkan penubuhan jawatankuasa pembersihan pantai yang akan berfungsi dari peringkat pemimpin atasan sehingga bawahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Petronas Menyemai Masa Hadapan, Pembersihan Pantai dan Kitar Semula di Pantai Puteri, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rais berkata inisiatif itu juga merupakan salah satu usaha untuk memastikan kebersihan negeri sebagai negeri pelancongan.
“Sebenarnya, kerja-kerja pembersihan pantai sememangnya sudah dilaksanakan oleh beberapa agensi swasta menerusi unit khas mereka, bagaimanapun ianya belum diperhebatkan secara menyeluruh,” katanya – MalaysiaGazette