PONTIAN – Seramai 500 murid dari 15 sekolah dalam Parlimen Pontian, Johor menerima bantuan persekolahan bagi sesi penggal kedua sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR).
YBR yang memperuntukkan kira-kira RM50,000 bagi bantuan itu menyempurnakan penyampaiannya dengan kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti Parlimen Pontian.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, bantuan itu diberikan khusus kepada murid dari keluarga B40 sebagai usaha meringankan beban kewangan mereka.
Kata beliau, bantuan itu diberikan kepada murid yang sebagai insentif tambahan mereka dalam menyediakan peralatan persekolahan yang diperlukan sepanjang sesi pembelajaran.
“Sebagai Ahli Parlimen Pontian, saya amat berterima kasih atas sokongan berterusan YBR dalam membantu golongan kurang bernasib baik terutama murid di sekitar Parlimen ini.
“Usaha ini seharusnya dipuji kerana merupakan satu inisiatif mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh keluarga B40 dalam memastikan anak mereka dapat meneruskan sesi persekolahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Bantuan Persekolahan YBR di Sekolah Maahad Pontian semalam.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak; Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Mohd Jafri Kudus; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; dan Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd. Rahman.
Sementara itu, Mohd Irwan dalam ucapannya menjelaskan, bantuan itu diharapkan dapat membantu ibu bapa menyediakan keperluan sekolah anak.
Katanya, bantuan itu juga alternatif terbaik mengurangkan bebanan kos sara hidup keluarga yang kian meningkat akibat ketidaktentuan ekonomi terutama bagi yang tinggal di luar bandar.
“Diharapkan usaha ini memberi sinar kegembiraan kepada murid dalam menuntut ilmu.
“Sepanjang 2022, seramai 26,604 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan kira-kira RM2.6 juta melibatkan 87 lokasi di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette