Datuk Kamarul Zaman Mamat

KUALA LUMPUR – Pengurusan pusat membeli-belah terkenal di Johor Bahru mendakwa telah menerima panggilan telefon petang semalam daripada seorang lelaki dipercayai warganegara asing yang menyatakan telah meletakkan bom di sekitar kawasan itu dan hotel.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, bertindak di atas maklumat tersebut, pada pukul 6.15 petang, seramai 92 orang pegawai kanan polis dan anggota termasuk dua Unit Anjing Pengesan K9 telah diatur gerak ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut.

Menurut beliau, selain itu seramai tiga pegawai dan 20 anggota bomba turut hadir di tempat kejadian.

“Sehingga jam 11.30 malam, keseluruhan kawasan bangunan pusat membeli-belah dan hotel telah diperiksa oleh Unit Pemusnah Bom dan anjing pengesan K9 dan tiada terkesan sebarang objek yang mencurigakan serta kawasan selamat beroperasi seperti sediakala.

“Pihak polis masih lagi berada di lokasi kejadian untuk menjalankan pemerhatian lanjut dan tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Polis Kontinjen Johor menasihatkan orang ramai agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran dan menganggu gugat ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pusat beli-belah berkenaan mempunyai enam tingkat, manakala hotel dengan 28 tingkat. – MalaysiaGazette