Dua sahabat lemas semasa mandi di tasik di Tasik Bandar Puteri Klang, Selangor. Foto: Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Dua sahabat ditemukan lemas di sebuah tasik di Tasik Bandar Puteri, KlangĀ  Selangor malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada jam 9.07 malam.

“Bertindak atas maklumat itu sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati lokasi kejadian disahkan sebuah tasik di Bandar Puteri Klang yang mana insiden membabitkan dua orang lelaki warga tempatan disyaki lemas ketika mandi dalam tasik tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, setibanya di lokasi, anggota bomba memulakan pencarian kedua-dua mangsa yang hilang dengan menggunakan kaedah surface searching.

Mayat dua lelaki lemas di Tasik Bandar Puteri, Klang diserakkan kepad polis untuk tindakan lanjut, semalam. Ihsan Bomba Selangor

“Kedua-dua mangsa ditemui dalam jarak 10 meter daripada tebing pada kedalaman dua meter di tasik tersebut.

“Mayat kedua-dua mangsa berjaya dinaikkan ke atas dalam diserhakan kepada pihak polis untuk tindakan sewajarnya manakala identiti mereka dikenalpasti sebagai Saravanan dan Rajkumar masing-masing berusia 29 dan 30 tahun,” katanya.

Menurut Ahmad Mukhlis, bomba menamatkan operasi pencarian pada 12.40 tengah malam tadi,” ujarnya. – MalaysiaGazette