Anthony Loke.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) dan membuat pembaharuan daripada segi peraturan bagi kenderaan elektrik di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ini kerana SOP sedia ada hanya untuk kenderaan konvensional sahaja khususnya bagi kenderaan berat bagi tujuan perdagangan.

“Apa-apa prosedur yang mungkin tidak terpakai kepada kenderaan elektrik ini, kita kena buat perubahan. Kebanyakan peraturan kita terpakai untuk kenderaan konvensional dan perdagangan yang menggunakan diesel.

“Kenderaan perdagangan elektrik ini, ia sesuatu yang baharu, mungkin ada peraturan kita yang mungkin tidak relevan untuk kenderaan elektrik.

“Jadi kita kena juga membuat perubahan dari segi peraturan kita,” katanya kepada pemberita di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan trak elektrik pertama di Malaysia.

Tambahnya, Kementerian Pengangkutan masih menunggu maklum balas daripada syarikat pengeluar kenderaan berat elektrik sebelum perubahan SOP dilakukan.

“Perkara ini kita hanya tahu apabila proses kelulusan itu dilaksanakan, jadi mereka ada sedikit masalah. Apabila mereka beri maklum balas, kita kena lihat perubahan-perubahan yang perlu kita bawa dalam peraturan kita.

“Ia bukan isu keselamatan, ia isu pentadbiran atau isu melibatkan peraturan-peraturan kecil,” katanya.

Katanya lagi, perubahan SOP JPJ dibuat bagi memudahkan dan menggalakkan pihak industri beralih kepada kenderaan elektrik dan membantu kerajaan mengurangkan pengeluaran karbon.

“Apa yang penting kita kena mengurangkan kerenah birokrasi. Kita nak permudah dan menggalakkan penggunaan EV. Jadi apa yang dilabur oleh syarikat ini merupakan satu pelaburan yang besar, satu trak elektrik ini bernilai RM1.3 juta.

“Apabila banyak syarikat melabur dalam kenderaan baharu ini, ia menyediakan pasaran yang lebih besar untuk trak elektrik ini.

“Dari segi persekitaran kita, ESG, ia akan meningkatkan imej negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast