KUALA LUMPUR – Penganjuran Bulan Pelancongan Islam (BPI) 2023 yang mendapat sambutan lebih 130 rakan strategik dan pemain industri menunjukkan inisiatif kerajaan melalui Pusat Pelancongan Islam (ITC) semakin relevan di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Nizran Noordin berkata, inisiatif bagi menarik lebih ramai pelancong Muslim ke negara ini khususnya Timur Tengah dan China diperakui pelbagai pihak kerana berpotensi merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Tahun lepas kita ada 25 pemain industri dan semua rakan kongsi strategik, tahun ini dengan kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh pasukan kami, kita dapat lebih 130 rakan strategik rakan kongsi terlibat.

“Kita juga disokong oleh rakan kongsi seperti aras mercu menyediakan program royalti ganjaran, di mana orang ramai berpeluang muat turun kupon atau apa juga penebusan mata.

“Kita juga ada sokongan daripada MasterCard yang menaja 30 pemenang di mana setiap mereka mendapat RM1,000 tunai daripada kad prabayar. Sokongan kepada ITC ini menunjukkan ITN 2023 ini diperakui,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Roslan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Islamic Tourism Centre (ITC) dan Malaysia Association of Hotels Training and Education Center (MAHTEC) pada Majlis Minum Petang Penghargaan Islamic Tourism Month 2023 di Pusat Konvensyen Sime Darby, KL. Foto QURRATU AINI, 16 OKTOBER 2023.

Terdahulu beliau hadir ke Majlis Minum Petang Penghargaan BPI 2023 di Pusat Konvensyen Sime Darby.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Roslan Abdul Rahman.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, ITC melihat BPI 2023 membuka peluang perniagaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan serta generasi muda.

“Potensi dalam pelancongan Islam, diperkukuhkan dengan produk dan perkhidmatan mesra Muslim yang inovatif juga, adalah luas,” katanya.

Selain itu, pemberian sijil Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR) kepada hotel, fasiliti perubatan, pusat beli-belah atau premis bukan restoran yang patuh syariah mampu melonjak jumlah pelancong ke negara ini.

“Kita kena buat lebih banyak usaha untuk mengembangkan program kita seperti MFAR.

“Kalau Jakim keluarkan sijil halal, kami keluarkan logo MFAR ini untuk mereka, bukan sahaja hotel bahkan spa wellness, kemudahan perubatan, pusat beli-belah, rehat dan rawat, pusat konvensyen, iaitu semua premis yang bukan restoran.

“Kita sedang mengembangkan lagi logo MFAR dan ia adalah sebahagian daripada inisiatif diumumkan perdana menteri sebelum ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast