Semua ahli Aeydan adalah anak-anak ahli kumpulan nasyid Rabbani.

KUALA LUMPUR – Nama kumpulan Rabbani cukup besar dan tidak perlu diperkenalkan lagi di negara ini.

Rabbani menempa zaman kegemilangan ketika kerancakan industri nasyid tanah air pada penghujung 1990-an.

Ketika itu Rabbani meniti populariti hebat dan namanya harum setanding kumpulan nasyid lain seperti Raihan, Hijjaz, Saujana dan Nowseeheart.

Namun melewati waktu lebih 20 tahun tidak dapat dinafikan komuniti peminat nasyid yang baharu amat dahagakan sesuatu yang segar dan betul-betul menepati citarasa mereka sebagai anak muda.

Lantas muncul kumpulan nasyid baharu iaitu Aeydan yang merupakan artis berkumpulan dianggotai enam orang anak muda berusia 20-an.

Namun apa yang menarik, kesemua ahli Aeydan adalah anak-anak ahli kumpulan nasyid Rabbani.

Malah vokalis utamanya, Muhammad Ilham Fikri merupakan anak keempat Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim yang juga tokoh besar nasyid tanah air dan vokalis Rabbani.

Sebagai pengenalan, Ayedan kini bermula dengan single pertama berjudul Bintang iaitu sentuhan kreatif dan terbitan bersama komposer terkenal Daqmie dan Wan Saleh yang sinonim dengan genre nasyid moden serta irama World Music.

“Bintang merupakan penceritaan tentang tokoh-tokoh yang banyak berjasa dalam dunia dakwah khususnya penasyid-penasyid generasi awal.

“Mereka adalah idola Aeydan dan jasa mereka menyebarkan syiar islam akan dikenang dan disambung di mana projek Bintang ini adalah satu kolaborasi bersama beberapa figura nasyid seperti Daqmie, Wan Saleh, Saujana, Nowseeheart dan Rabbani melalui label Scriptology Music dan Rabbani Empire Resources,” kata ahli Rabbani, Azadan yang menyelia pengurusan Aeydan ketika ini.

Aeydan merupakan generasi Rabbani yang membawakan genre world music dan lagu-lagu kerohanian berharmoni.

Azadan menambah, beberapa siri perkongsian ala ‘Kelas Nasyid Ekspres’ boleh ditonton peminat di laman Youtube Scriptology Music.

Katanya, video muzik Bintang itu diterbitkan oleh Kashfy Studio dan diarahakan oleh Suhairil Izham di mana muzik videonya dirakamkan berlatar belakang hangar kapal terbang, Politeknik Banting.

“Satu mesej besar yang dibawa pengarah dalam muzik video ini adalah Dari Banting ke Bintang kerana tanpa ilmu, usaha dan impian tinggi tak bisa dicapai,” katanya.

Mengenai Aeydan, Azadan memberitahu, ia merupakan generasi Rabbani yang membawakan genre world music dan lagu-lagu kerohanian berharmoni.

Menurutnya, kumpulan yang terdiri daripada Ilham, Izwan, Farhan, Haikal, Fardeen dan Alif ditubuhkan sejak tahun 2021.

“Aeydan adalah satu nama yang mempunyai auranya tersendiri dan dalam bahasa Greek atau latin sebutannya Eden iaitu bermaksud satu tempat yang cantik dan indah.

“Sebutan perkataan Aeydan juga rasa lebih moden, klasik dan futuristik. Semoga dengan nama ini, Aeydan akan rasa lebih bersemangat dan berjaya,” katanya yang boleh dihubungi di talian 60 11-3262 1042 bagi sebarang maklumat tentang persembahan Aeydan.

Sementara itu, Scriptology Music adalah sebuah label rakaman di bawah syarikat Scriptology Sdn. Bhd. yang diketuai Zuhaidi Saujana merupakan penganjur konsert Saujana 25 yang dilaksanakan Mac 2023 lalu.

Vokalis utama Aeydan, Muhammad Ilham Fikri merupakan anak keempat Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim yang juga bekas vokalis Rabbani.