Muhammad Firdaus menunjukkan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans pada yang dgunakan pada sebuah bas kilang sejak 17 bulan lalu.

MELAKA – Sebuah syarikat sanggup menggadaikan nyawa pemandu dan puluhan pekerja kilang dengan menggunakan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans pada bas kilang sejak 17 bulan lalu.

Tindakan itu bagaimanapun terbongkar selepas bas kilang berkapasiti 40 penumpang itu disita dalam satu operasi dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka di Batu Berendam, di sini, pagi tadi.

Pengarahnya, Muhammad Firdaus Shariff berkata, hasil pemeriksaan mendapati, LKM bas terbabit sudah tamat tempoh pada 5 Mei 2022.

Muhammad Firdaus Shariff

“Bagaimanapun, didapati LKM terbabit telah diubahsuai apabila dicetak semula dan digantikan kepada tarikh 5 November 2023 yang merupakan kesalahan pertama dikesan JPJ Melaka setakat ini.

“Namun kita yakin ini hanya dilakukan individu kerana kualitinya tidak sampai ke tahap kegiatan ini didalangi sindiket,” katanya pada sidang media di JPJ Bukit Katil, di sini, hari ini.

Anggota penguatkuasa JPJ Melaka melakukan pemeriksaan terhadap van dan bas kilang di Batu Berendam, pagi tadi.

Tambahnya, susulan itu bas berkenaan disita kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Dalam operasi ini, JPJ Melaka memeriksa 65 buah bas dan van pekerja kilang sebelum mengeluarkan 111 notis kompaun atas pelbagai kesalahan.

“Antaranya notis di bawah Seksyen 61(1) APJ 1987, Seksyen 224 dan Seksyen 79 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast