Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu menggunakan sidang kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bagi mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) menggerakkan misi keamanan dan menghentikan kekejaman rejim Israel di Palestin.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tidak salah jika Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil tindakan proaktif dan berani untuk memulakan misi keamanan di sempadan Gaza.

“Kuasa ekonomi Islam dunia seramai lebih dua bilion orang perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memberi tekanan kepada rejim Israel serta sekutunya.

“PN menyeru Kerajaan Malaysia untuk menyuarakan secara lantang usaha bagi membangktikan kesedaran umat Islam dunia dan untuk membalas setiap kekejaman, kebiadapan dan kesombongan Israel,” katanya pada sidang media, di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, media melaporkan sekurang-kurangnya 500 terkorban dalam serangan udara terbaru Israel ke atas Hospital Al-Ahli yang penuh sesak di Genting Gaza.

Perkara itu disahkan Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) di media sosial.

Hospital itu berfungsi sebagai tempat perlindungan untuk ribuan penduduk yang meninggalkan kediaman mereka di utara Gaza.

Dalam pada itu, masyarakat Islam dunia perlu mengheret rejim Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan memberi keadilan kepada masyarakat Islam di Palestin.

“Rejim Israel ini perlu dibawa ke ICC pihak pengadilan untuk menentukan segala kekejaman yang dilakukan Israel ini dapat kita buktikan melalui keadilan sewajarnya.

“Ada sesetengah negara di luar sana yang secara terbuka menyokong segala apa yang dilakukan oleh Israel. Sebab itu hari ini kita ingin membuktikan ada dwi-standard yang ditunjukkan oleh beberapa negara besar dunia hari ini.

“Kita mahu melihat negara-negara besar ini benar-benar mengakui yang salah tetap salah, yang kita mahukan kebenaran bahawa Palestin sebuah negara yang selama ini diceroboh zionis,” ujarnya.

Katanya lagi, PN juga akan menggunakan semua saluran untuk membantu umat Islam Palestin mendapat pengadilan yang sewajarnya.

“Kita akan terus menggunakan semua saluran dan rangkaian yang ada termasuk diplomasi antara rakyat kepada rakyat bagi memastikan Palestin mendapat keadilan, pembelaan dan bantuan semua peringkat.

“Kita berdoa kepada Allah semoga dapat melindungi rakyat Palestin dan rakan-rakan kita yang ada di sana,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast