KUALA LUMPUR – Pengurus pasukan Tajikistan Petar Segart menyifatkan kemenangan bersejarah skuadnya menjuarai Piala Pestabola Merdeka 2023 menewaskan tuan rumah Malaysia dalam penampilan sulungnya dalam edisi ke-42 itu di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi hasil semangat berpasukan.
Katanya, tahap disiplin tinggi skuad muda purata berusia 21 tahun itu serta aksi taktikal yang terancang di atas padang sepanjang permainan final itu membantu pasukan ranking ke-110 dunia itu menewaskan skuad Harimau Malaya.
“Kami memang dari awal lagi sudah menjangkakan Tajikistan akan menjulang piala ini cuma saya terkilan kerana skuad tuan rumah yang boleh pergi jauh lagi berdasarkan prestasi semasa mereka gagal kepada skuad muda kami.
“Yang jelas, kemenangan kami bukan disebabkan persembahan individu, tetapi kerjasama dan semangat juang tinggi yang dipamerkan pasukan kami dalam perlawanan tersebut.
“Lebih-lebih lagi kami terpegun dengan aksi luar biasa penjaga gol kami yang lincah di gawang gol menepis serangan lawan kerana dia hanyalah pilihan ketiga pasukan kebangsaan disebabkan tujuh pemain kunci kami tidak dapat bersama malam tadi,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan akhir malam tadi.
Malah katanya, pingat emas serta piala Merdeka yang dimenangi pasukannya diabadikan untuk rakyat Tajikistan serta masa depan negara tersebut.
Menurut pengurus warga Croatia itu, segala kemenangan malam tadi adalah hasil kerja keras lima penolong jurulatih beliau serta para pemain sepasukannya.
“Saya sebagai ketua jurulatih hanya membuat keputusannya tetapi yang melaksanakannya adalah semua pembantu saya dalam pasukan ini maka segala penghargaan hasil kemenangan malam ini untuk mereka.
“Kemenangan ini juga adalah pencetus semangat kami untuk bersiap menghadapi aksi pusingan kelayakan piala dunia berdepan Jordan dan Pakistan serta Piala Asia bermula November ini,” ujarnya.
Ditanya mengenai rahsia pemilihan pemain untuk pasukan kebangsaan memandangkan semangat dan aksi menang yang dipamerkan skuad malam tadi, beliau berkata, dia melayan semua pemain di negaranya secara sama rata tanpa merendahkan mana-mana individu.
“Berdasarkan pengalaman jurulatih selama 27 tahun dengan lapan pasukan berlainan, saya sentiasa melayan semua pemain dalam pasukan secara sama rata, begitu juga pemilihan pemain baharu.
“Saya sentiasa mengutamakan karakter dan disiplin yang dimilikinya, sama ada dia seorang pelayan atau tukang bersih di tepi jalan, saya tidak kisah tentang latar belakangnya asalkan dia mempunyai bakat dan disiplin tinggi yang saya perlukan untuk mewakili negara,” katanya lagi.
Beliau juga mengakui akan menghadapi cabaran untuk memilih pemain kesebelasan utama untuk aksi kelayakan piala dunia dan Asia kerana ramai pemain muda yang berbakat menonjol.
“Saya akui akan menjadi lebih mencabar untuk saya memilih pemain utama 11 orang dalam pasukan kebangsaan selain perlu menilai tahap kecederaan mereka juga menjadi faktor penentu dalam pemilihan skuad penuh nanti,” katanya. – MalaysiaGazette