KUALA LUMPUR – Polis menahan dua jurukimpal dan merampas dadah jenis methamphetamin seberat 208 kilogram bernilai kira-kira RM6.9 juta dalam serbuan di sebuah gudang besi di Seksyen 25 Sri Muda, Shah Alam, Selangor semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, hasil soal siasat membawa kepada penemuan dadah berjumlah 208 kilogram jenis syabu yang disorok dalam batang besi kaki meja.
“Kedua-dua suspek warga tempatan berumur 42 dan 50 tahun itu dipertanggungjawab untuk melakukan kerja kimpalan pada beberapa kaki meja bagi mengisi kesemua dadah itu sebagai taktik menyembunyikan barang berbahaya daripada dihidu pihak berkuasa.
“Risikan yang dijalankan oleh polis selama sebulan lalu mendapati gudang yang terletak di Kawasan Perindustrian Sri Muda itu dijadikan lokasi simpanan sementara dadah terbabit sebelum dikeluarkan untuk tujuan pengedaran ke pasaran,” katanya sambil menambah ia merupakan rampasan terbesar untuk Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada tahun ini.
Bdeliau menyatakan demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Menurut Allaudeen, kedua-dua suspek mengaku sindiket pengedaran dadah itu bergerak aktif sejak sebulan lalu di sekitar Lembah Klang dengan menyorok dadah di dalam batang besi yang diubah suai untuk dijadikan kaki meja.
Tambah beliau, bekalan dadah itu akan diambil oleh individu lain sebelum diedarkan dan kini polis sedang menyiasat dari mana sumber dadah ini diperolehi.
Allaudeen berkata,kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihaknya sedang menjejaki dalang utama sindiket berkenaan dan beberapa suspek lain yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah itu.
Katanya, selain dadah turut dirampas ialah wang tunai, barangan kemas dan peralatan mengubah suai besi dengan anggaran keseluruhan bernilai kira-kira 7 juta. – MalaysiaGazetteBernama