SHAH ALAM – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) komited untuk meneruskan usaha bekas Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari dalam menyantuni dan mendekati pengundi bukan Islam dengan lebih berkesan.
Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, walaupun usaha itu belum sempurna, namun terdapat beberapa tetamu bukan Islam yang menghadiri majlis perasmian Muktamar Pemuda Pas kali ke-64, pada Selasa.
“Kami akan pikul tugas itu untuk terus mendekati bukan Islam. Kita sebenarnya semalam dihadiri tetamu bukan Islam yang sebelum ini mereka tidak pernah hadir, semalam mereka hadir.
“Kita juga beri satu anugerah Tokoh Perpaduan kepada Tokoh Bukan Islam.
“Saya fikir keberanian mereka hadir ke majlis Muktamar Pas ini menunjukkan satu indikator mereka sudah boleh menerima pendekatan yang sedang kita buat.
“Kita akan terus mendekati mereka dengan pendekatan-pendekatan yang boleh mereka terima,” katanya pada sidang media selepas penangguhan Muktamar Pemuda Pas kali ke-64, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, malam tadi.
Terdahulu, Ahmad Fadhli ketika sesi ucapan akhir sebagai Ketua Pemuda Pas bagi sesi 2021-2023 melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat menjernihkan pandangan bukan Islam dan bukan Melayu kepada Pas.
Ahmad Fadhli berkata, ia merupakan satu tugasan paling besar yang beliau tinggalkan kepada kepimpinan Pemuda Pas baharu.
“Ini supaya kita dapat menerobos masuk ke dalam pilihan raya dalam keadaan kita mendapat undian padu daripada pengundi Melayu Muslim dan pengundi bukan melayu ini sebagai cabaran.
“Kalau ini berjaya andai ambil sebagai suatu matlamat dan cabaran yang paling besar, maka Insya-Allah kita telah berjaya mengubah pandangan tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette