KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuka akaun ketiga untuk pencarumnya sebagai tambahan kepada dua akaun sedia ada.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu akan dilaksanakan tahun depan sebagai mana dimaklumkan Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu.
Katanya, akaun tersebut akan melibatkan semua pencarum tidak kira dari kumpulan B40, M40 yang tujuannya bagi kemudahan pengelauaran jika mereka berdepan situasi kecemasan.
“Mulai tahun depan telah diumumkan dalam Belanjawan 2024 kita akan membuka satu lagi akaun untuk pencarum KWSP.
“Sekarang ini akaun satu dan akaun dua…apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan diumumkan akaun fleksible apa yng diumumkan tentang apakah akaun fleksible ini, ia adalah akaun ketiga yang boleh diakses oleh ahli tanpa mengira mereka b40, m40 khususmya ketika mereka kecemasan.
“Ini adalah untuk memanfaatkan untuk meringankan beban ketika menghadapi keperluan di luar jangkaan,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Kalam Salan (PN- Sabak Bernam) yang meminta kerajaan menyatakan adakah kerajaan bercadang untuk meningkatan pelaburan tempatan KWSP kepada 70 peratus berbanding 64 peratus pada tahun 2022 yang disyorkan oleh Perdana Menteri pada bulan Mei lalu.
Sementara itu, Ahmad berkata, jumlah pelaburan KWSP dijangka meningkat kepada RM700 bilion pada akhir tahun ini dengan peningkatan sebanyak sembilan peratus berbanding tahun lepas.
Beliau menjelaskan, untuk tempoh 2018 hingga 2022, KWSP telah memperuntukkan purata melebihi 80 peratus daripada jumlah alokasi dana tahunan bagi dilaburkan dalam pasaran domestik.
Bagi tahun 2023, sebanyak RM97 bilion atau 83 peratus daripada jumlah alokasi dana tahunan telah diperuntukkan, katanya.
“KWSP akan terus memberi keutamaan kepada pelaburan domestik dengan membahagian sebahagian besar daripada dana tahunannya kepada pasaran tempatan untuk pelaburan domestik, termasuk dalam bentuk pasaran wang di bank-bank tempatan.
“Bagi memastikan KWSP dapat mengoptimumkan pelaburannya dengan mampan, Panel Pelaburan KWSP sentiasa berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang mengalokasikan aset pelaburan KWSP dalam pelbagai kelas aset, geografi, mandat dan strategi selaras dengan objektif pelaburan KWSP sebagai sebuah dana
persaraan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette