KPDN Pulau Pinang menahan dua pemandu lori terlibat dalam kegiatan penyelewengan diesel di Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Dua pemandu lori yang terlibat dalam kegiatan penyelewangan diesel ditahan dalam dua stesen minyak berasingan di negeri ini semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, dua lelaki masing-masing berusia 40-an itu ditahan di Juru dan Simpang Ampat.

Jelas beliau, tangkapan pertama dilakukan di sebuah stesen minyak di sekitar Juru pukul 4.45 pagi selepas pihaknya menjejaki sebuah lori berwarna merah dalam keadaan mencurigakan sedang mengisi diesel.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan enam tangki simpanan berkapasiti 1,000 liter yang digunakan untuk mengisi minyak diesel.

Tangki khas ditempatkan dalam lori bagi mengisi diesel yang diseludup.

“Susulan itu, kita melakukan serbuan kedua pukul 7.30 pagi di sebuah stesen minyak di Simpang Ampat sebelum menahan sebuah lori berwarna putih yang sedang mengisi diesel.

“Bagaimanapun, pemandu lori berkenaan bertindak agresif cuba melarikan diri dengan merempuh kenderaan kita namun tindakannya berjaya digagalkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Jegan, semakan pihaknya mendapati kedua-dua lori dirampas pihaknya itu diubah suai dipercayai bagi tujuan kegiatan penyelewengan diesel.

”Secara keseluruhan kita menyita 5,400 liter diesel dan beberapa rampasan lain bernilai RM52,709.

“Kedua-dua tangkapan kini ditahan bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sementara itu, Jegan turut mengingatkan mana-mana  pihak agar tidak menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas.

Sebarang maklumat atau aduan berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi, orang awam boleh menyalurkannya di Call Centre di talian 1 800 886 800 atau WhatsApp KPDN di 019 279 4317. – MalaysiaGazette