Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap kepada media selepas Majlis Anugerah 100 CEO Top 2022 di M Resort & Hotel Kuala Lumpur, Jalan Damansara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan untuk menaikkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dalam Belanjawan 2024 minggu lalu mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, langkah untuk menaikkan SST daripada enam peratus kepada lapan peratus adalah langkah tidak tepat.

“Cadangan kerajaan untuk menaikkan cukai jualan daripada cukai jualan dan perkhidmatan daripada 6 peratus ke 8 peratus dianggap tindakan kurang tepat berbanding ssitem percukaian lain yang lebih efisyen.

“Meskipun kenaian itu tidak melibatkan makanan dan minuman namun harus difahami bahawa kenaikan ini akan beri kesan berantai kepada semua aspek yang akan turut mendorong kenaikan barang asas, ini kerana peniaga tidak akan menyerap kenaikan cukai dan kos pengeluaran mereka,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2024, di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail Sabri berkata, langkah yang seharusnya diambil oleh kerajaan adalah dengan memperkenalkan semula Cukai Barangan
dan Perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan pada 2018 oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya, GST terbukti jauh lebih cekap, telus dan adil berbanding SST.

“Ketika GST dihapuskan, negara hilang kira-kira RM20 bilion sehingga RM30 bilion setahun akibat ‘black economy’ kerana kita tidak dapat pantau mereka yang tidak membayar cukai.

“Kenaikan cukai SST sebanyak 2 peratus ini juga hanya memberi hasil tambahan sebanyak RM3 bilion kepada negara. Malah firma audit antarabangsa, Deloitte meramalkan kenaikan dua peratus SST hanya mampu menambah pendapatan sekitar RM900 juta,” katanya. – MalaysiaGazette