Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO meminta Tan Sri Abdul Hadi Awang agar ‘cermin diri’ susulan kenyataannya yang menyatakan pembangkang bukan musuh kerajaan.

Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, Presiden Pas itu perlu berlaku adil kerana kedua-dua pihak bukannya seteru.

“Hadi gesa kerajaan berlaku adil kepada pembangkang kerana kedua-dua pihak bukannya musuh. Hadi kata memberi peruntukan hanya untuk MP kerajaan tidak Islamik.

“Hadi lupa PN yang kuat bermusuh dengan kata kesat dan dalil hukum menyesatkan. Kerajaan diumpama najis.

“Mana mungkin PN mahu masuk ke tong najis. Itu kata Hadi. Itu mengapikan permusuhan. Apakah itu adil dan Islamik,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Semalam, Abdul Hadi di Dewan Rakyat menggesa kerajaan berlaku adil kepada pembangkang termasuk diberi peruntukan sama rata kerana kedua-dua pihak bukannya musuh.

“Berlaku adillah. Dengan musuh (juga perlu) berlaku adil.

“Ini kita kerajaan dengan pembangkang bukan musuh. Bukan musuh dengan musuh diwajibkan berlaku adil,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu turut menyifatkan tindakan kerajaan hanya memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan sebagai tidak mengikut ajaran Islam.

Sementara itu Mohd Puad berkata, dalam isu peruntukan, Perdana Menteri sudah memanggil pembangkang untuk berunding.

“Tetapi Ketua Pembangkang dengan angkuh menolak. Hadi sokong Hamzah (Zainudin). Kenapa memusuhi sampai tidak mahu berunding? PN mesti cermin diri sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast